JOHOR BARU, 23 Februari:

Seorang lelaki ditemui dalam keadaan cedera di kepala, dipercayai akibat disamun di Kilometer 26.8, Lebuhraya E22 Senai Desaru, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, DSP Norazam Shaari yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa ditemui lebih kurang jam 7.15 pagi tadi oleh pekerja Lebuhraya E22 yang sedang membuat rondaan.

“Mangsa didapati terbaring di tepi jalan dalam keadaan cedera dan berlumuran darah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa diberi tujuh jahitan di bahagian belakang kepala serta empat jahitan di bahagian muka. Mangsa masih dirawat dan ditahan wad di HSI,” kata Norazam.

Menurut siasatan awal, mangsa dipercayai menumpang seorang lelaki tidak dikenalinya yang menaiki motosikal dari Johor Baru, kira-kira jam 4 pagi untuk pulang ke rumah mangsa.

Jelasnya, apabila sampai di lokasi kejadian, suspek dipercayai memukul mangsa dan melarikan dompetnya yang berisi wang tunai RM60, lain-lain dokumen diri dan bank serta sebuah telefon bimbit.

Kes itu yang gambarnya menjadi viral di laman sosial Facebook hari ini, disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (samun dan mendatangkan kecederaan).

Norazam berkata, pihaknya memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat.

Mereka boleh berbuat demikian di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau Hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222.