JOHOR BARU, 16 Februari:

Seorang lelaki yang memukul isterinya menggunakan kasut di kawasan Plaza Tol Air Hitam, Batu Pahat, sehingga menjadi viral di laman sosial, baru-baru ini, ditahan polis di Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad berkata, suspek yang berusia 44 tahun itu ditahan di kediamannya, di Taman Sri Kluang, kira-kira jam 7.30 malam.

Beliau berkata, hasil soal siasat, lelaki itu mengaku memukul isterinya, kerana tertekan dengan sikap wanita terbabit yang suka membebel, disebabkan masalah kewangan.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati, lelaki berkenaan menghidap penyakit mental dan pernah menerima rawatan di Hospital Kluang.

“Polis telah merampas sepasang kasut berwarna hitam, dipercayai digunakan lelaki tersebut untuk memukul isterinya dalam kejadian tiga hari lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.