KUALA LUMPUR, 4 Febuari:

Anak perempuan kepada Menteri Besar baru Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini membidas kaki “keyboard warriors” yang berterusan mengkritik bapanya.

Baru-baru ini sebuah video yang menunjukkan Ahmad Bashah kononnya terlelap semasa majlis angkat sumpah telah dijadikan viral di media sosial sehingga netizens mula mempersoalkan keupayaannya untuk memimpin kerajaan negeri Kedah.

Melalui posting yang dimuat naik di Facebook, anak perempuan bongsu Menteri Besar Kedah yang dikenali sebagai Azira Hafiza Ahmad Bashah, meluahkan rasa terkilannya terhadap kritikan yang dilemparkan kepada bapa beliau ekoran kemelut politik yang melanda negeri itu.

Dalam masa yang sama, beliau mendakwa bahawa serangan yang dilakukan ke atas bapanya juga adalah satu percubaan terdesak untuk merosakan reputasi bapanya.

“Siapa tahu video ‘tidur’ yang sangat popular tu semata-mata nak burukkan abah. Orang yang rakam video tu merangkak la dekat padang mahsyar minta maaf sebab sebar fitnah.

“Macam itulah bila dah rasa diri bagus, bila besar boleh jadi keyboard warriors yang maksum bebas dosa confirm masuk syurga dan boleh menghukum orang tanpa usul periksa,” tulis Azira Hafiza dalam posting itu.

Azira juga turut mengecam sikap pengguna media sosial yang mempersoal dan mengkritik tahap pendidikan bapanya.

“Ya. Abah sekolah tak tinggi. Takda Master, takda PHD, apatah lagi Diploma, bukan kelulusan luar negara, apatah lagi ahli motivasi/jurulatih professional.

“Lawak bila waktu dipilih jadi ketua semasa pemerintahan Pas tak ada orang yang persoalkan kelayakan akademik abah,” katanya.

Posting itu telah mendapat perhatian di pengguna maya, malah telah tersebar di dalam pelbagai laman blog dan portal berita yang lain.

Bagaimanapun, tinjauan yang dibuat oleh The Rakyat Post mendapati bahawa akaun Azira Hafiza sudah tidak aktif lagi.