KUALA LUMPUR, 1 Febuari:

Seorang lelaki yang mengherdik seorang pengawal keselamatan wanita kerana enggan membenarkan beliau meletakkan kereta di tempat letak kereta wanita di KLCC, dikecam orang awam kerana dikatakan bersifat kurang ajar.

Lelaki yang dikenali sebagai Peter Cheng, membawa isterinya untuk membeli-belah sempena sambutan Tahun Baru Cina di pusat beli belah KLCC.

Kerana sikap degilnya yang berkeras ingin meletakkan kereta di situ, Cheng meminta isterinya memandu dan meletakkan  kenderaan mereka sebelum beliau berjalan masuk ke pintu masuk dan menunggu isterinya di sana.

Namun Cheng berang apabila pengawal keselamatan itu tidak membenarkan isterinya meletakkan kenderaan mereka dan mengecam tindakan pengawal keselamatan itu yang kemudian meninggalkan tempat letak kereta apabila Cheng mengambil gambar beliau.

Selepas itu, Cheng memuat naik komennya di dalam media sosial dengan meminta orang ramai memboikot pusat beli-belah KLCC.

“Saudara-saudara sekalian, mengapa kita sibuk ingin membeli-belah di KLCC jika mereka menggunakan pengawal seperti ini ?????

“Di pintu masuk wanita, pengunjung lelaki boleh datang dengan sewenang-wenangnya tanpa ada masalah.

“Secara kebetulan kita telah membelanjakan lebih daripada RM700, jadi sila bantu saya dengan berkongsi posting ini dan meningkatkan kesedaran pengurusan mereka,” kata beliau.

Tetapi kemarahan beliau telah mencetuskan kritikan di dalam laman sosial yang mengutuk tindakan beliau menyalahkan pengawal keselamatan terbabit.

Sebahagian yang memberikan komen berkata pengawal keselamatan itu hanya menjalankan tugas, manakala tempat letak kereta wanita pula disediakan adalah untuk wanita dan kumpulan wanita sahaja.

Tambah mereka lagi, lelaki berkenaan tidak berhak menghentam peraturan-peraturan tersebut hanya kerana jumlah wang yang telah dibelanjakan untuk membeli-belah.

Setelah menyedari tindakan beliau dikritik orang ramai, Cheng kemudian memadam posting itu dan meminta maaf di atas kesilapannya.

Beliau juga berjanji akan bertemu dengan pengawal keselamatan terbabit untuk meminta maaf.