JOHOR BARU, 26 Januari:

Polis sedang mencari pemandu sebuah Proton Inspira yang bertindak mengundur keretanya sebelum melanggar kenderaan di belakangnya dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Mohamad Laham mengesahkan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu telah membuat laporan polis.

Susulan itu, jelasnya, polis telah pergi ke rumah pemandu kereta itu di Johor, namun dimaklumkan adik-beradiknya suspek tiada di rumah.

“Polis masih menunggu satu pihak itu tampil membuat laporan polis dan surat telah dihantar bagi meminta pemilik kereta terbabit pergi ke balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, hari ini.

Jelasnya, polis akan terus mengesan pemandu kereta itu dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mohamad berkata, ada kemungkinan polis akan menyiasat punca pemandu terbabit bertindak “terburu-buru” dalam kejadian pada Ahad lalu itu.

“Bagaimanapun, keutamaan adalah untuk menyelesaikan siasatan trafik, kerana pemandu MPV mahu membuat tuntutan insurans untuk kerosakan kenderaannya,” katanya.

Mohamad meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung pemandu Proton Inspira dalam video yang tersebar di media sosial itu, supaya menghubungi balai polis berhampiran.

“Polis mahu menghubungi pemandu kereta Proton Inspira merah itu untuk membantu siasatan,” tambahnya.

Selain rakaman video selama 22 saat, sebahagian daripada imej laporan polis yang dibuat pemandu MPV itu turut dikongsi warga maya.

Dalam video itu, Proton Inspira itu kelihatan berada di hadapan MPV melalui kamera yang dipasang di papan pemuka kenderaan berkenaan.

Sejurus selepas itu, pemandu Proton Inspira itu tiba-tiba menekan brek di lorong kanan, sebelum dia mengundur keretanya dan melanggar MPV di belakangnya.

Pemandu Proton Inspira itu kemudiannya memecut dari tempat kejadian.

Menurut laporan polis yang dibuat pemandu wanita MPV itu, insiden itu dikatakan berlaku di Kilometer 62.7 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan di tengah Johor, kira-kira jam 7 malam Ahad lalu.

Ketika kejadian, wanita itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Johor.

Menurut mangsa, dirinya dan ahli keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tegasnya, beliau membuat laporan polis itu untuk membuat tuntutan insurans bagi kerosakan bumper dan plat nombor pendaftaran MPV itu.

Rakaman video itu telah dikongsi di WhatsApp dan beberapa akaun Facebook, seperti ‘Pilihan Anda By Desperado’ dan juga ‘Friends of PDRM’ sejak semalam.

Kejadian pelik itu turut menerima pelbagai komen, kebanyakannya menyifatkan ia sebagai aksi berbahaya.

Namun, ada yang menganggap pemandu MPV itu mungkin telah menyinggung perasaan pemandu Proton Inspira di jalan raya, menyebabkan berlakunya insiden pelik itu.