KUALA LUMPUR, 19 November:

Ahli Parlimen PKR-Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar perlu menjelaskan gambar beliau bersama Puteri Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram yang tersebar di laman media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, isu ini sangat sensitif dan boleh mengundang spekulasi negatif.

“Benda itu (bergambar dengan Jacel) memang sensitif. Nurul Izzah perlu sahkan gambar itu dan memberi penerangan. Jangan bagi orang buat spekulasi tidak betul.

“Dia kena jelaskan, sebab benda ini dah jadi viral,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Jacel adalah anak sulung ketua penceroboh, Sultan Jamalul Kiram III yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan di Sabah pada 2013.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam sidang media berkata, jika benar perkara itu, ia boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara.

“Saya tidak terima apa-apa laporan lagi berhubung perjumpaan yang disebutkan tadi, tetapi dengan perkembangan baru-baru ini tentang pembunuhan mangsa culik oleh Abu Sayyaf dan proses pendamaian yang masih dibincangkan di selatan Mindanao hari ini, saya lihat tindakan pihak tertentu boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian.

“Sekiranya ada rancangan atau perbincangan berhubung kedudukan kedaulatan, keselamatan maruah negara, jika benar dan saya tidak ada maklumat terkini, itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.