KUALA LUMPUR, 19 Oktober:

Seorang pemandu kereta Suprima S terselamat daripada bertembung dengan kenderaan lain selepas sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC) berfungsi dengan baik.

Kejadian tersebut dirakamkan dalam sebuah video berdurasi 11 saat yang mana dikatakan berlaku di Jalan Ulu Yam, Selayang yang sememangnya diketahui ramai agak berbahaya kerana mempunyai selekoh yang tajam.

Dalam video berkenaan, pemandu tersebut dilihat memandu dengan kelajuan yang agak tinggi sewaktu memandu di jalan berkenaan pada waktu malam.

Apabila tiba di selekoh tajam di jalan berkenaan, pemandu tersebut tidak menyedari ada kenderaan datang dari arah berlawanan dan kemudiannya menekan brek pada kelajuan yang tinggi.

Namun begitu, sekalipun kereta berkenaan sedikit hilang kawalan namun sistem ESC yang sememangnya dilengkap dalam semua variasi Suprima standard berfungsi pada waktu yang tepat.

Sekiranya sistem ESC berkenaan tidak berfungsi, kereta berkenaan akan hilang kawalan dan akan bertembung dengan sebuah lagi kereta yang datang dari arah berlawanan sekaligus menyebabkan berlaku kemalangan.

Video tersebut dimuat naik di Youtube dan telah ditonton oleh 31,177 pengguna Internet.