KUALA LUMPUR, 6 Julai:

Ahli Parlimen DAP – Seputeh, Teresa Kok menerima kritikan daripada pengguna media sosial berhubung status yang dimuat naik di akaun Facebooknya yang mempersoalkan mengenai kod etika berpakaian di pejabat kerajaan.

Terdahulu, Teresa memuat naik gambarnya bersama beberapa lelaki berpakaian tradisional masyarakat Iban.

Dalam statusnya, beliau menyatakan bahawa pakaian tradisional yang dipakai oleh lelaki Iban boleh dikategorikan sebagai ‘separuh bogel’ dan ‘tidak menutup aurat’.

“Bila saya masuk ke church of Divine Mercy di Shah Alam untuk menghadiri sambutan Gawai dan Kaamatan, saya memang tertarik dengan kostum lelaki Iban yang merupakan setengah bogel ataupun ‘tidak tutup aurat’ ini,” katanya dalam kapsyen gambar yang dimuat naik olehnya.

Menurutnya, pakaian tradisi masyarakat Iban itu sudah pasti tidak dibenarkan memasuki pejabat kerajaan yang mengamalkan kod etika berpakaian.

“Pakaian tradisi Iban ini memang akan dilarang masuk pejabat kerajaan dengan kod pakaian Perkhidmatan Kerajaan sekarang.

“Tapi pakaian dan kostum sebegini memang telah menjadi sebahagian daripada budaya yang beraneka-corak di Malaysia. Inilah kostum dan budaya yang harus dipelihara kerana ia telah menjadi ciri dan tarikan pelancongan di Malaysia,” katanya.

Kata-kata Teresa itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang mengkritik kenyataannya dengan menyatakan dia ‘tidak realistik’ dan ‘tidak masuk akal’ kerana mengaitkan pakaian tradisional dengan kod etika pakaian.

Seorang pengguna Facebook, Hashim Yusup memberi komen, banyak perbezaan antara pakaian yang dipakai menggunakan untuk tujuan majlis dan yang dipakai pada hari biasa.

Seorang lagi pengguna Facebook, Alwi Adam EzazWealth berkata: “Nampaknya dia langsung tidak tahu mengenai masyarakat Sarawak. Masyarakat Iban tidak memakai pakaian ini pada hari biasa. Ia hanya untuk acara tertentu.”

Kenyataan Teresa itu turut menarik perhatian, Timbalan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Rafidah turut mengkritik Teresa kerana tidak dapat membezakan antara pakaian tradisional yang dipakai semasa perayaan dan pakaian yang dipakai untuk ke pejabat kerajaan.

“Teresa Kok, Ahli Parlimen yang tidak tahu bezakan antara pakaian tradisional yang dipakai semasa perayaan dengan kod pakaian dan etika di pejabat kerajaan,” katanya.

Katanya, setiap budaya memiliki pakaian tradisinya tersendiri yang mereka pakai untuk mematuhi norma tradisi dan budaya mereka.

“Saya sedia maklum, masyarakat Cina bangga dengan Cheongsam, masyarakat India pula bangga dengan Sari yang berwarna warni dan sopan.

“Mengapa Ahli Parlimen dari DAP berjuang untuk sesuatu yang jelas bertentangan dengan nilai budaya di Malaysia?” katanya.

Rafidah turut menjelaskan bahawa beberapa jenis pakaian, seperti skirt mini bukanlah sebahagian daripada budaya di Malaysia.