KUALA LUMPUR, 12 Januari: 

Gadis Melayu yang memeluk dan mencium artis Korea dalam sebuah konsert K-pop di ibu negara, Sabtu lalu, disifatkan hanya bertudung pada zahir, tetapi tidak pada batinnya.

Perkara itu digambarkan Mudir Maahad Raudhatul Ulum, Ustaz Ahmad Rizam Ghazali menerusi ceramahnya di Masjid Jamek Hashim Yahya, Pulau Pinang, malam tadi.

Pandangan itu dipetik daripada sebuah video selama 10 minit 55 saat yang dimuat naik ke laman sosial Facebook.

Video itu telah ditonton lebih 112,156 kali dan seramai 9,402 orang menyukainya, selain dikongsi lebih 13,001 kali dan mendapat pelbagai komen.

Dalam ceramahnya itu, Ahmad Rizam menjelaskan maksud aurat bagi golongan wanita yang merujuk kepada aib.

Katanya, anak-anak gadis yang memeluk dan mencium artis K-pop dari Korea itu telah membuka aib batin, meskipun mereka menutup aib zahir.

Lebih menjijikkan, apabila mereka melakukannya di khalayak ramai.

“Saya tengok video itu. Pengacara itu lerai dah, jangan bagi peluk artis Korea tu. Dia boleh pergi lagi peluk orang tu. Itu pakai tudung tu.

“Maka orang pun tanya, ustaz…yang pakai tudung pun peluk jantan, sebab apa? Mereka tudung zahir, tapi tak tudung batin.

“Orang perempuan ni akal satu, nafsu sembilan. Dia nak tau, sebab itu dia berani buat.

“Mereka sanggup gadaikan iman-iman mereka, kerana mahu menyelesaikan kehendak nafsu,” katanya.

Ahmad Rizam memberitahu, apa yang berlaku itu cukup memperjelaskan maksud Nabi (Muhammad S.A.W) tentang golongan terakhir yang mudah mengikut bisikan dajal.

Katanya, perbuatan dajal boleh berlaku dengan mudah tanpa disedari dan ia hanya dapat ditangkis, sekiranya seseorang itu mempunyai iman kuat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya berhati-hati dalam menjaga perlakuan anak gadis mereka, bagi mengelakkan kemaksiatan sedemikian.

The Rakyat Post semalam melaporkan aksi gadis Melayu memeluk dan mencium bintang K-pop pujaan mereka di khalayak ramai, dalam sebuah konsert di ibu negara, pada Sabtu lalu, yang mendapat kecaman dan kritikan pelbagai pihak.

Perbuatan itu diketahui umum, selepas satu klip video selama 3 minit 21 saat yang menunjukkan beberapa gadis Melayu bertudung dalam lingkungan 20-an, merelakan diri mereka dipeluk dan dicium artis K-pop di atas pentas.

Beberapa jam selepas artikel itu disiarkan, penganjur konsert kumpulan K-pop, B1A4, TGM Events memohon maaf di atas isu yang timbul, ekoran tindakan artis dari Korea itu bersama dengan peminatnya yang terdiri daripada gadis-gadis Melayu.

TGM Events dalam satu kenyataan berkata, terminologi yang digunakan itu, diambil di luar daripada konteks dan mereka amat kecewa dengan kewartawanan yang tidak bertanggungjawab itu.