KUALA LUMPUR, 3 Februari:

Dalam bandar yang terkenal dengan makanannya, Muzium Hor Yan Ho (HYMN) menyerlah sebagai khazanah bagi aktiviti bermanfaat untuk menghabiskan masa di Ipoh.

HYMN, dilancarkan awal pada 16 Januari tahun ini, sangat mengagumkan malah sebelum anda memasukinya, terima kasih kepada seni bina warisan pra-perang.

Bangunan, yang terletak di Jalan Bijeh Timah di pusat bandar Ipoh Old Town, pada asalnya adalah rumah Dr Ho Kai Cheong, pengasas perniagaan teh herba Ho Yan Hor yang akhirnya berkembang menjadi empayar perniagaan berjaya pada era moden hari ini.

Bermula daripada perniagaan teh herba, Ho membangunkan Ho Yan Hor Medical Hall, yang kemudian dinamakan sebagai Ho Yan Hor Sdn Bhd.

Hari ini, ia dikenali sebagai Hovid Bhd, syarikat tersenarai awam dan salah satu pengeluar farmaseutikal terkemuka negara.

Muzium ini berkongsi cerita-cerita yang menakjubkan mengenai pengasas serta menyediakan penemuan asal-usul dan evolusi teh warisan herba, termasuk herba yang digunakan Dr Ho untuk membuat teh herba itu

Pengurus muzium, Ng Chern Yuan berkata, HYHM sangat bermakna kepada keluarga Dr Ho kerana mereka meraikan ulang tahun ke-75 perniagaan herba teh Ho Yan Hor yang bermula pada 1941.

Beliau menjelaskan bahawa Dr Ho bermula dengan menyewa sebuah bilik di dalam kedai itu, yang kemudian dibelinya apabila perniagaannya berkembang.

Untuk satu masa, bangunan itu disewakan kepada tukang kunci, dan kemudian ia kosong selama beberapa tahun.

“Tahun lalu, Ian Anderson, konsultan muzium dari Ipoh World Sdn Bhd, berjumpa keluarga ini dan mencadangkan sebuah muzium sebagai menghargai kenangan Dr Ho dan kisah kejayaan perniagaannya yang memberi inspirasi.

“Muzium ini juga adalah penghargaan kepada Ho Yan Hor sebagai jenama Ipoh yang kini amat dikenali di seluruh dunia,” katanya kepada The Rakyat Post dalam satu temu bual.

Bangunan itu juga memperlihatkan lukisan mural bertajuk `Evolusi’ oleh artis kelahiran Lithuania, Ernest Zacharevic, yang terkenal dengan siri lukisan dinding di Georgetown dan Ipoh.

Menggunakan warna hitam dan putih, ia menggambarkan zaman kegemilangan perlombongan bijih timah di Ipoh.

Muzium ini dijadual ditutup pada cuti perayaan Tahun Baru Cina dan dibuka semula pada 10 Februari ini.

Muzium dibuka dari jam 10 pagi hingga 4 petang. Kemasukan adalah percuma.