KUALA LUMPUR, 3 Februari:

Bekas Timbalan Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan semakan kehakiman hari ini untuk mencabar keputusan Peguam Negara (AG) untuk tidak mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkaitan skandal kontroversi RM2.6 bilion.

Permohonan semakan kehakiman setebal 10 muka surat itu itu difailkan menerusi Tetuan Haniff Khatri, dengan menamakan AG, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai responden tunggal.

Khairuddin memohon deklarasi untuk membatalkan keputusan responden untuk tidak mendakwa pemimpin negara berhubung skandal kewangan yang dilaporkan akhbar sejak setahun lalu.

Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Apandi bahawa tidak perlu untuk mendapatkan bantuan undang-undang berhubung perkara itu.

Selain itu, Khairuddin memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk membentuk satu suruhanjaya siasatan khas bagi menentukan tindakan yang sepatutnya berdasarkan tiga kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Plaintif memfailkan permohonan itu atas alasan bahawa responden telah melanggar keadilan semula jadi, keputusan itu tidak munasabah dan ia dibuat di luar bidang kuasa beliau sebagai Peguam Negara seperti yang termaktub di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut dokumen mahkamah, dinyatakan bahawa tiada konflik kepentingan untuk Apandi memutuskan perkara berkaitan Najib sebagai seorang yang menggantikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, ketika siasatan isu 1MDB sedang dijalankan.

“Responden tidak berada dalam kedudukan yang berhak untuk membuat keputusan samada untuk mendakwa atau sebaliknya berdasarkan siasatan terhadap Najib.

“Responden juga gagal mengambil kira keterangan prima facie bagi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 berdasarkan satu kenyataan bertarikh 26 Januari 2016 bahawa wang derma sebanyak RM2.08 bilion telah didepositkan ke dalam akaun Najib.”

Turut dinyatakan adalah Apandi tiada hak atau locus untuk membuat keputusan berdasarkan kertas siasatan kerana pelantikan beliau sebagai Peguam Negara tidak mengikut perlembagaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan

Khairuddin hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi memfailkan permohonan itu.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Khairuddin memberitahu sidang media hari ini bahawa anak guamnya adalah individu yang berhak untuk memfailkan semakan kehakiman kerana Khairuddin mempunyai kaitan dengan keputusan Apandi.

Minggu lalu, Apandi mengumumkan dalam sidang media bahawa Najib bersih daripada sebarang salah laku jenayah berkaitan skandal kewangan kerana wang yang didepositkan ke dalam akaun Najib adalah pemberian daripada keluarga diraja Arab Saudi.