KUALA LUMPUR, 2 Februari:

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan bahawa pasukan bola sepak kebangsaan akan ditukar nama kepada “Harimau Malaysia”.

Sebelum ini dikenali sebagai “Harimau Malaya”, Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata kempen penjenamaan semula itu adalah sebahagian daripada usaha penandaan dalam sejarah bola sepak Malaysia.

“Bagi melancarkan era baru dalam bola sepak Malaysia pada permulaan 2016, FAM berasa bahawa gelaran Harimau Malaya yang selalu digunakan tidak lagi sesuai, ini kerana perkataan ‘Malaya’ sendiri sudah tidak digunakan secara umumnya di negara ini sejak penubuhan Malaysia pada 1963, lebih kurang 53 tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata,   penjenamaan semula itu dilihat sebagai langkah untuk menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu panji dalam menyokong pasukan kebangsaan

“Gelaran ini juga bertepatan dalam mencerminkan skuad negara milik semua rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak yang mungkin berasa sedikit diasingkan oleh penggunaan nama Harimau Malaya itu.

“Jadi, inilah mengapa FAM merasakan bahawa 2016 adalah tahun yang sempurna bagi gelaran baru untuk melihat kepulangan Harimau Malaysia dan bebanan sebagai pasukan antarabangsa yang berdaya saing,” katanya.

Dalam usaha melengkapkan sepenuhnya program penjenamaan semula pasukan kebangsaan, FAM turut melancarkan pertandingan untuk membina dan mereka bentuk logo baru bagi Harimau Malaysia.

Pertandingan itu dibuka kepada orang ramai dan memberi peluang kepada peminat bola sepak Malaysia bagi menjana imej baru pasukan.

Tiga logo terpilih akan disenarai pendek bagi membolehkan peminat bola sepak Malaysia mengundi secara dalam talian dan pemenang akan berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM10,000 selain peluang bersama pasukan bola sepak kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2016.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh diperolehi di laman web rasmi FAM www.fam.org.my.