KUALA LUMPUR, 28 Januari 2016:

Projek infrastruktur utama tidak akan terkesan dengan pengubahsuaian Bajet 2016, kata Setiausaha Agung Kementerian Kewangan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Katanya, projek seperti Mass Rapid Transit dan Transit Aliran Ringan akan diteruskan sebagaimana projek yang lain kerana ada diantara projek berkenaan dibiayai secara persendirian, manakala yang lain dibiayai oleh dana infrastruktur daripada bajet kerajaan.

“Jadi ia hanya melibatkan peruntukan kerajaan yang minimum. Tetapi projek yang mempunyai penglibatan besar kerajaan seperti Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan sebagaimana yang dirancang.

“Jadi kita tidak akan menghentikan projek berimpak tinggi,” katanya ketika ditemui selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak megumumkan pengubahsuaian bajet 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Iwan turut mengulangi kenyataan bahawa tiada projek yang dihentikan dalam pengubahsuaian itu.

“Katakan sekuranya projek berkenaan tidak memerlukan perbelanjaan cepat dari segi aliran wang, kita akan cuba untuk mengatur semula aliran wang atau melihat semula projek yangt membabitkan pembelian tanah.

“Walaupun ia membabitkan pembinaan bangunan yang memakan masa dua atau tiga tahun, kita akan cuba untuk menyesuaikan dan memberi keutamaan bila ia akan dimulakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, projek membabitkan sekolah, hospital, jalan raya dan projek bekalan elektrik akan diteruskan sebagaimana yang dirancang.