KUCHING, 24 Januari:

Keunikan undang-undang negeri mungkin tidak difahami oleh Putrajaya.

Presiden Persatuan Peguambela Sarawak Leonard Shim, berkata ketika ini, kebanyakan kesalahan di bawah ordinan negeri perlu dirujuk ke Putrajaya sebelum kes diteruskan.

“Ini antara birokrasi yang kami hadapi apabila ia berkaitan rapat dengan ordinan negeri,” kata Shim kepada The Rakyat Post.

Memberi kuasa kepada pegawai undang-undang negeri untuk mendakwa kesalahan di bawah peraturan-peraturan-negeri adalah salah satu daripada perkara pentadbiran yang dipersetujui dalam rundingan Penurunan Kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengetuai rundingan peringkat tertinggi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Rabu lalu di Wisma Negeri, iaitu satu daripada tiga fasa perbincangan berhubung perkara itu.

Turut hadir pada rundingan terbabit adalah Ketua Setiausaha Kerajaan, Tan Sri Ali Hamsa; Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Peguam Negeri, Datuk Abdul Razak Mohamad Tready.

Antara undang-undang unik negeri termasuk Ordinan Alam Sekitar dan Sumber Asli Sarawak, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, Ordinan Perhutanan, Kanun Tanah Sarawak dan Ordinan Perumahan Sarawak.

“Undang-undang ini mempunyai peruntukan khusus yang difahami di sini tetapi kadang-kadang asing di peringkat Persekutuan. Tetapi apabila perlu merujuk kepada pihak yang tidak memahami undang-undang itu sendiri boleh mendatangkan halangan dan beberapa ordinan kita adalah lebih tua daripada negara itu sendiri,” kata Shim.

Sebagai contoh, Ordinan Perhutanan Sarawak, digazetkan pada 1953, telah ditubuhkan untuk memberi perlindungan dan pengurusan hutan di negeri ini dan untuk mengawal selia pengambilan hasil hutan.

Shim memuji tindakan untuk membantu mempertingkatkan undang-undang negeri, tetapi pada masa sama, memberi amaran bahawa kuasa tambahan tidak akan bermakna apa-apa jika tidak ada peruntukan kewangan.

“Secara asasnya, ini bermakna lebih banyak kerja perlu dilakukan, tetapi tanpa peruntukan bajet yang sebenarnya, ia akan kembali kepada yang lama,” tambah Shim lagi.

Adenan mendedahkan 13 perkara yang dibincangkan secara jelas dalam rundingan itu pada Khamis, yang meliputi secara meluas langkah-langkah pentadbiran di bawah Penurunan Kuasa.

Fasa kedua rundingan akan meliputi pencerobohan kuasa oleh kerajaan persekutuan, termasuk pelancongan, sumber dan alam sekitar manakala yang rundingan ketiga akan menyentuh mengenai isu-isu kewangan seperti royalti minyak dan gas.

Adenan juga berkata, ada perkara yang boleh dilaksanakan serta-merta tetapi kebanyakan peralihan kuasa akan mengambil masa tertentu.

Antara perubahan serta-merta termasuk 100 jawatan baru di Jabatan Imigresen Sarawak yang akan diisi penuh pada akhir Februari, peningkatan guru kelahiran Sarawak kepada 90 peratus daripada jumlah yang ada sekarang sehingga 2018 serta gabungan Jabatan Kebajikan Sosial negeri dan persekutuan.