KUALA LUMPUR, 17 Januari:

Rakyat perlu meneliti bangsa anggota kepemimpinan DAP bagi mengetahui samada parti itu benar-benar mewakili pelbagai kaum, kata Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang.

Tan berkata demikian ketika mengulas mengenai hasrat DAP untuk meletakkan lebih ramai calon Melayu dalam pilihan raya umum akan datang, sekalipun mempunyai reputasi sebagai parti yang didominasi Cina.

“Mereka (DAP) (semata-mata) mencuba.

“Apa-apa yang cetek pada permukaan tidak mewakili kandungan sebenar.

“Bungkusan tidak sepenting kandungannya, jadi samada DAP mewakili palbagai kaum atau tidak, saya fikir, lebih baik kamu lihat kepada kepimpinan tertinggi mereka. Adakah ia benar-benar mewakili parti pelbagai kaum?”

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di luar taklimat Gerakan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di ibu pejabat parti itu, dekat sini, petang tadi.

Taklimat disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk J. Jayasiri yang juga ketua perunding negara untuk TPPA.

Tan berkata, orang ramai perlu melihat kepada sentimen delegasi akar umbi DAP, dalam bentuk siapa yang mereka undi dalam sesi pemilihan parti.

“Kebanyakan delegasi mereka menolak dan mengutamakan bangsa tertentu.

“DAP sebelum ini dipimpin mendiang Karpal Singh, tetapi kini siapa pengerusi parti dan setiausaha agungnya?

“Tengok dalam senarai mereka, kita sendiri jelas, saya fikir jika kamu cuba untuk mengatakan bahawa kamu mahu menarik lebih ramai masyarakat melayu, ada wakilkah untuk mewakili mereka?”

Ketika sesi pemilihan DAP yang lalu di Selangor, Tan berkata, Setiausaha Biro Undang-Undang Kebangsaan Gobind Singh Deo tidak dilantik sebagai pengerusi negeri sekalipun meraih undian tertinggi.

“Orang yang dalam senarai kelapan yang menjadi pengerusi. Mengapa Tony Pua yang dilantik sedangkan Gobind yang banyak diundi?” soalnya.

Tan berkata Gerakan, dalam pada itu mempunyai naib presiden yang bukan Cina, Datuk A Kohilan Pillay dan Datuk Dr Asharuddin Ahmad, yang dipilih bukan lantikan.