KOTA BHARU, 3 Januari:

Kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi atau Piya tampil membuat laporan polis berhubung penyebaran berita kemalangan maut membabitkan dirinya yang tersebar di laman sosial, sejak semalam.

Beliau yang ditemui di Balai Polis Kota Bharu hari ini menyatakan kesal dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu yang menganggap soal hidup mati sebagai satu `permainan’ tanpa memikirkan rakannya kepada individu sepertinya.

“Saya sanggup memaafkan individu terbabit sekiranya dia sendiri datang memohon maaf kepada saya.

“Di sini saya ingin tegaskan soal kematian bukan boleh dibuat main-main dan dia sepatutnya sedar akan perbuatannya,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kota Bharu, hari ini.

Katanya akibat penyebaran berita kemalangan ngeri yang dikatakan menyebabkan dia meninggal dunia itu dia mendapat banyak panggilan bagi mendapatkan pengesahan daripada rakan sepasukan dan saudara mara.

“Ketika berita ini sampai ke pengetahuan saya, sebenarnya ketika itu saya sedang tidur di rumah.

“Saya terkejut apabila mendapat panggilan bertubi-tubi bertanyakan keadaan saya padahal ketika itu saya berada di rumah dan tidak mengalami sebarang kemalangan. Kepada mereka yang bertanggungjawab menyebarkan berita karut itu insaflah,” katanya ketua pasukan bola sepak Kelantan itu lagi.

Dalam perkembangan sama, Kelab Penyokong Agenda TRW turut sama membuat laporan polis kerana bimbang penyebaran berita tidak benar itu akan mencetuskan kemarahan dan kesedihan di kalangan penyokong tegar TRW.

Presidennya, Mohamad Zaidan Ab Rahim menjelaskan berita itu boleh menyebabkan trauma kepada keluarga Piya.

Beliau berkata berita kematian seperti itu tidak boleh dibuat guardian ataupun bahan senda guru.

“Kami sebagai penyokong TRW memohon agar datang di sebalik penyebaran berita terbabit disiasat dan diambil tindakan sebenarnya supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.

“Selepas ini kami berharap rakyat Kelantan akan dapat bersatu hati memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada TRW pada musim 2016,” katanya.