KOTA BHARU, 29 Disember:

Suspek kes bunuh pemandu teksi di persimpangan lampau isyarat di Jalan Pasir Mas-Salor dikatakan bertindak ganas dengan melibas rantai ke cermin kenderaan mangsa untuk memaksa mangsa keluar daripada kereta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata ketika melakukan serangan juga suspek tidak memakai topi keledar dan dapat dilihat oleh pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata mengikut maklumat suspek bertindak ganas memecahkan cermin belakang kereta dan sisi sehingga menyebabkan seorang penumpang teksi mangsa ketakutan dan keluar menyelamatkan diri.

“Orang ramai yang kebetulan berada di lokasi kejadian kemungkinan merasakan itu hanya kes pergaduhan biasa ataupun tidak berani keluar kerana melihat suspek yang berkelakuan ganas.

“Bagaimanapun, kita berharap masih ada maklumat daripada orang awam bagi membantu penyiasatan,” katanya pada sidang media di IPK, di sini hari ini.

IMG_20151229_152357
Fotofit suspek

Menurutnya, suspek dikatakan melarikan diri menggunakan motosikal ke arah Salor sebaik menikam mangsa.

Mazlan berkata mangsa dipercayai meninggal dunia selepas tikaman senjata tajam sepanjang 6 cm dikatakan menembusi paru-paru.

“Polis sudah mengeluarkan fotofit suspek berdasarkan keterangan yang diperolehi daripada saksi kejadian.

“Suspek dipercayai penduduk tempatan berusia lewat 20an, berkulit gelap, kurus tinggi. Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dikenali sebagai seorang yang mesra.

Sementara itu, Mazlan menjelaskan polis akan melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan mangsa sebelum ini pernah cuba diserang pada pertengahan Jun lalu dan pernah membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

BACA: Pemandu teksi maut ditikam di persimpangan lampu isyarat

Dalam kejadian semalam, seorang pemandu teksi berusia 67 tahun maut ditikam oleh seorang penyerang bermotosikal dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor, kira-kira jam 2.30 petang, hari ini.

Mangsa, Sudin Awang berasal dari Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh ketika kejadian turut membawa seorang penumpang lelaki warga Thailand berusia 30an.

Mengikut maklumat, mangsa dikatakan diekori sejak awal oleh penyerangnya sebelum tiba di persimpangan lampu isyarat tempat kejadian.