KUALA LUMPUR, 8 Disember:

Menteri Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bingung dengan kenyataan calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Republikan, Donald Trump yang pada Isnin lalu melarang penganut Islam memasuki AS.

“Saya tidak faham dengan Donald Trump, apa yang dia cuba buat?

“Mungkin, dia cuba mendapatkan sokongan daripada parti lain, saya tidak tahu. Tetapi dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu,” kata Tengku Adnan kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini, hari ini, selepas merasmikan program Puteri Umno.

Calon Presiden AS, semalam membuat kenyataan seumpama itu sebagai respon terhadap insiden tembakan oleh dua penganut Islam yang disifatkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sebagai radikal, lapor Reuters.

Beliau turut dilaporkan berkata bahawa larangan orang Islam memasuki AS diperlukan sehingga wakil negara itu dapat memikirkan penyelesaiannya.

“Sehingga kita dapat memastikan dan memahami masalah dan bahaya ancaman, negara kita tidak boleh menjadi mangsa serangan dahsyat oleh mereka yang hanya percaya kepada Jihad, dan tidak menghormati nyawa manusia,” katanya memetik laporan Reuters.