Senaman di gimnasium atau gim merupakan satu trend aktiviti kesihatan pada masa kini. Lelaki mahupun wanita meminati aktiviti ini kerana ia merupakan salah satu cara untuk mengawal berat badan, kekal sihat, cergas, meningkatkan stamina dan tenaga.

Selain itu, senaman di gim juga membantu mengurangkan masalah obesiti dan masalah jantung kerana setiap aktiviti di gim berupaya meningkatkan peredaran darah dan metabolisma di dalam badan, mengurangkan degenerasi pusat sistem saraf yang boleh mengelakkan dari terkena serangan strok serta mengurangkan tekanan.

Saya mula menyertai senaman di gim pada pertengahan tahun 2011. Pada ketika itu berat badan saya mencecah 115 kilogram. Dengan berat badan yang tidak normal atau obesiti, saya mengambil keputusan untuk mengubah diri saya.

Pada permulaan, saya dilatih oleh jurulatih dengan melakukan senaman mengangkat berat dan disusuli dengan senaman kardio. Dalam, pada masa yang sama, saya diberi tips-tips pengambilan makanan yang betul untuk mendapat berat badan yang ideal.

Setelah hampir tiga tahun mengikuti senaman di gim, akhirnya berat saya mencecah 75 kilogram dan berjaya mendapat tubuh badan yang ideal. Di sini ingin saya kongsikan beberapa kebaikan ke gim:

  1. Membantu mengawal berat badan. Senaman bebanan di gim dapat membantu mengawal berat badan. Ia merupakan cara yang paling efektif untuk membakar kalori yang berlebihan. Senaman bebanan dapat menukarkan lemak kepada otot. Saya dapat mengurangkan berat badan sebanyak 40 kilogram dengan melakukan senaman ini.
  2. Mengelakkan dari terkena penyakit. Ini adalah faktor utama yang membuatkan saya melakukan senaman di gim. Masalah berat badan sering dikaitkan dengan penyakit seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi dan sebagainya. Untuk mengelakkan diri dari menghidapi penyakit tersebut, amalkan cara hidup yang sihat. Ini kerana, penyakit-penyakit yang datang adalah berpunca daripada berat badan dan pengambilan makanan yang tidak terkawal. Jadi, pilihlah gaya hidup dan pemakanan yang sihat dan selamat.
  3. Meningkatkan keyakinan diri. Apabila saya mendapat berat badan yang ideal, keyakinan diri saya juga meningkat. Setelah hampir tiga tahun melakukan senaman di gim, saya kini mendapat tubuh badan yang ideal. Apabila mencecah berat badan yang ideal, saya berasa yakin untuk mengenakan apa-apa jenis pakaian. Oleh itu, berat badan yang ideal dapat mempengaruhi keyakinan diri seseorang.
  4. Mengurangkan tekanan. Salah satu kebaikan ke gim adalah dapat mengurangkan tekanan. Senaman di gim dapat meningkatkan konsentrasi daripada norepinephrine, iaitu sejenis bahan kimia yang dapat mengurangkan respon otak dari tekanan. Yang paling penting adalah ketika membeli pakaian, saya tidak mengalami masalah tidak mempunyai saiz lagi. Sewaktu berat badan saya tidak normal, saya selalu kecewa kerana tidak dapat mengenakan pakaian yang diminati kerana tidak mempunyai saiz. Kini, saya tidak mempunyai masalah dan tekanan lagi apabila membeli pakaian.
  5. Mencegah osteoporosis, meningkatkan kekuatan otot dan sendi. Senaman di gim seperti senaman bebanan, squats, aerobik, zumba dan joging dapat membina dan menguatkan otot di bahagian tulang. Memang tidak dinafikan, kerana saya berasa otot saya lebih kuat berbanding sebelum ini. Ini kerana apabila melakukan senaman bebanan, otot akan menjadi kuat dan membentuk tubuh yang menarik. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan bekalan oksigen ke bahagian tulang dan tisu-tisu di sekitarnya dan membantu dalam pembaikan dan pemeliharaan tisu.

Keyakinan diri seseorang sering dikaitkan dengan tubuh badan. Keyakinan seseorang akan bertambah tinggi jika mendapat tubuh badan yang diingini. Oleh itu, senaman di gim dapat membantu untuk mengurangkan berat badan dan membentuk tubuh badan seseorang menjadi menarik. Senaman juga menjadikan seseorang lebih berdisiplin dalam memilih pemakanan untuk mendapatkan tubuh badan yang diingini.

Akhir sekali, dengan melakukan senaman di gim juga dapat mengurangkan tekanan, mengelakkan dari terkena penyakit dan mengawal berat badan. Apa yang paling penting adalah jangan berputus asa, kerana tidak ada orang lain yang boleh membantu diri kita selain diri kita sendiri. Jangan malu untuk bertanya jika tidak mengetahui cara-cara yang betul. Bak pepatah, malu bertanya sesat jalan. Selamat berjaya!

Muhammad Syazwan Bin Abdullah

Universiti Putra Malaysia