Salam saudara pengarang,

Saya selaku pegawai pergigian kerajaan ingin berkongsi informasi dan memandang isu ‘doktor gigi jalanan’ sebagai isu penting yang agak sukar dibendung.

Antara cara pihak kerajaan cuba lakukan untuk mengatasinya adalah menghantar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk serbu dan menghalang operasi mereka daripada menular.

Namun, masih ramai lagi tukang gigi yang menjalankan rawatan dengan sewenangnya.

Risiko utama yang akan berlaku adalah masalah kawalan jangkitan silang (cross infection) kerana tukang gigi tiada alatan khas untuk mensterilisasi alatan yang digunakan.

Kesannya kepada pelanggan adalah penyebaran penyakit yang boleh merebak melalui darah, udara dan saliva seperti HIV, Hepatitis B dan Tuberculosis(tibi).

Oleh itu ,saya menyarankan kepada orang ramai agar bijak memilih perkhidmatan pergigian, tambahan pula klinik pergigian kerajaan juga kos efektif dan semakin banyak kemudahan klinik di sekitar Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Dr Aqilah,

Kuala Lumpur