Kepada Pengarang Berita,

Bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak dan bukannya menjadi medan untuk mecari kesalahan antara satu sama lain.

Pemimpin kerajaan dan juga pembangkang perlu mengutamakan keperluan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir dan bukannya mencari populariti di atas musibah yang menimpa mereka.

Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada juga perlu dikaji semula selaras dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana ia dilihat kurang kemas dan berkesan dalam membantu mangsa-mangsa banjir dengan cepat.

Banjir terutamanya di bahagian utara dan pantai timur semenanjung Malaysia bukanlah perkara baharu kerana boleh dikatakan berlaku setiap tahun maka sudah tiba masanya kerajaan persekutuan dan negeri merangka satu ‘blueprint’ yang efisien bagi mengatasi bencana tersebut.

Adakah kerajaan tidak pernah mengambil pengajaran dengan setiap kejadian banjir yang berlaku sebelum ini dan diharapkan apa yang berlaku pada kali ini menjadi batu loncatan kepada jalan penyelesaian masalah berkenaan.

Majlis Keselamatan Negara juga perlu lebih proaktif dan ke hadapan dalam setiap isu melibatkan bencana alam namun apa yang berlaku ada sebaliknya apabila portal rasmi miliknya juga tidak dikemaskini dengan baik.

Di samping itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih tegas dalam mengesan individu-individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita-berita palsu terutamanya di media sosial dan aplikasi WhatsApps.

Implikasi berita-berita palsu tersebut sangat besar kerana ia mampu mencetuskan suasana panik dan tidak puas hati terhadap pihak berkuasa yang sedang menjalankan usaha menyelamat dan menghantar bantuan makanan.

Oleh itu, bencana alam kali ini telah mengajar kita semua dan ia perlu dijadikan ikibar bagi memastikan kejadian yang sama tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan kepada semua mangsa-mangsa banjir yang terjejas dalam kejadian tersebut dan memberikan sokongan samada dari segi moral mahupun kewangan kepada mereka.

Suhaimi Abu Bakar,

Gua Musang, Kelantan.