Saudara Pengarang,

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya terpanggil untuk berkongsi pandangan mengenai apa yang saya percaya mampu mengubah kehidupan kita semua.

Tahun 2015, tahun baru bagi semua untuk bersedia menjadi negara maju menjelang 2020 seperti yang direncanakan oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tempoh lima tahun saya pasti adalah satu masa yang panjang untuk melakukan perubahan, sudah pasti perubahan ke arah kebaikan demi agama, bangsa, negara dan juga yang paling tunjang, diri sendiri.

Banyak musibah yang melanda negara pada tahun 2014 ini, dan seharusnya ia menjadi pengajaran dan tauladan buat kita semua.

Pada hemat saya, rakyat perlu lebih rasional dan peka dengan keadaan sekeliling. Tidak perlu lagi untuk menuduh membabi buta, dan membuat penilaian tanpa pertimbangan yang waras.

Berpolitik hanya perlu ketika Pilihan Raya Umum, bukan pada setiap detik dan waktu, sehinggakan musibah juga perlu dipolitikkan.

Sekarang adalah masa untuk rakyat memberikan jasa buat negara dan juga masa buat pemimpin menabur khidmat buat rakyat.

Biar Malaysia kekal aman, biar Malaysia kekal berjalan melangkah maju, dan biar Malaysia terus subur membangun bersama rakyatnya yang penuh santun namun gagah mempertahankan pertiwi.

Di mana lagi kalau hendak berbakti kalau bukan di tanah sendiri. Namun andai benar kalian mahu merosak bangsa, bukan Malaysia tempatmu, kerana tanah ini untuk orang yang bertamadun.

Muhammad Shafiq,

Johor Bahru