ESOK genaplah 10 hari kita melangkah masuk ke tahun baru 2015.

Semalam skuad bolasepak kebangsaan, pasukan Harimau Malaya membuka lembaran 2015 pada kedudukan ke-154 ranking dunia berdasarkan senarai terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), di Zurich.

Ranking Harimau Malaya di peringkat Asia turut kekal di tempat ke-28 daripada 46 negara lain, manakala dalam kalangan negara tetangga Asia Tenggara kedudukan Malaysia turut kekal di tangga kelima di belakang Filipina yang berada di ranking ke 130 dunia, Vietnam (137), Myanmar (141) dan Thailand (142).

Di arena badminton, nasib jaguh badminton negara yang kini jatuh ke ranking nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei dijangka selesai selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setuju mengadakan perbicaraan kes doping beliau awal bulan depan.

Perbicaraan kes Chong Wei awalnya dijadual diadakan di Ams­terdam, Belanda 8 Disember lalu, namun ditunda atas permintaan peguam pemain tersebut, Mike Morgan lalu ditukar kepada 12 Januari, 2015, sebelum sekali lagi ditunda ke tarikh baharu.

Kita tinggalkan dulu semua itu untuk mencongak 15 harapan saya terhadap arena dan industrii sukan negara tahun ini.

1. KEJAYAAN DI SUKAN SEA SINGAPURA

Walaupun fokus kita dihalakan ke Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia, batu asasnya mesti ditegakkan bermula di temasya dwitahunan Sukan SEA.. Edisi di Singapura Jun nanti adalah ujian besar untuk atlet muda Negara.

2. LIGA MALAYSIA YANG MERIAH

Profil Liga M yang meningkat naik mendadak berikutan kejayaan skuad negara di Sukan SEA 2009 dan 2011 serta Piala AFF 2010 diiringi siaran langsung secara mingguan menjadikan nilainya dianggarkan melebihi RM80 juta. Dengan audiens yang besar, harapnya standard di luar padang (penyokong) dan atas padang (pemain) bermutu tinggi.

3. KURANG BERITA NEGATIF

Semoga berita negatif seperti pergaduhan di antara dua atlet dan kisah bintang dengan deretan kejayaan yang panjang gagal ujian doping tidak berulang. Begitu juga isu tarik tali dan pusingan U pemain bola sepak yang menanda tangani perjanjian dengan dua pasukan berbeza.

4. TIADA UNSUR MAFIA DALAM SUKAN

Jika benar kes Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang ditembak ada kaitan dengan kedudukannya sebagai Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Presiden Persatuan Olahraga Negeri Johor (POAJ), ia satu trend berbahaya, justeru langkah segera membanteras elemen ‘mafia’ menyusup masuk ker dalam sukan wajib diambil.

5. ANGIN PERUBAHAN DI MAJLIS SUKAN NEGARA (MSN)

Pelantikan Ahmad Shapawi Ismail selaku Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) ketujuh hadir di saat Datuk Seri Zolkples Embong cuba mempertahankan kedudukannya. Namun keberanian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menukar pendukung kerusi panas itu menjanjikan angin perubahan.

6. PEMERKASAAN INSTITUT SUKAN NEGARA (ISN)

Bergelut dengan kontroversi membabitkan cara kes doping Datuk Lee Chong Wei diuruskan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, bukan saja harus memperkasakan agensi sokongan sains sukan itu, bahkan memastikan isu dalaman dan kelemahan khidmat rujukan perubatan ditangani segera.

7. RUMAH UNTUK JAGUH BINA BADAN

Tiba masanya Kerajaan Negeri Johor membalas budi anak jati Batu Pahat, Sazali Abdul Samad, dengan menghadiahkannya sama ada sebidang tanah atau sebuah rumah yang selesa. Meskipun berbangga dengan 10 gelaran dunia, Mr Asia sebanyak sembilan kali dan Olahragawan Kebangsaan sebanyak tiga kali, Sazali belum memiliki rumah sendiri dan masih menetap di kuarters polis di Hulu Klang.

8. PENGGANTI DATUK NICOL ANN DAVID

Rekod sembilan gelaran dunia dan 102 bulan menduduki takhta pemain nombor satu dunia cukup mengagumkan buat Nicol. Isunya sama ada Low Wee Wern boleh mendekatkan jurang sambil membuktikan dia sedia merampas mahkota Nicol yang masih bertenaga pada usia bakal mencecah 32 tahun.

9. KESUDAHAN POSITIF UNTUK DATUK LEE CHONG WEI

Apakah kesudahan yang bakal menanti kes gagal ujian doping Chong Wei? Pada usia 33 tahun, sepatutnya Chong Wei menutup tirai kerjaya dengan nota gemilang. Apakah dia bakal dikenang sebagai pemain nombor satu dunia tanpa sebarang gelaran utama yang menggunakan bahan terlarang?

10.OLAHRAGA MASIH BERNYAWA

Sekalipun dianggap hidup segan mati tak mahu, olahraga masih membutirkan permata di peringkat Asia Tenggara. Misalnya Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Iskandar Alwi (lompat bergalah), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang/jauh) dan Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi). Cabaran buat mereka ialah memenangi pingat di peringkat Asia pula.

11. HOKI SATU INDUSTRI

Keberanian Terengganu Hockey Team (THT) melabur wang untuk menggajikan barisan bintang membawa hasil lumayan apabila mereka muncul juara berganda – Liga Hoki Malaysia dan Piala TNB. Semoga ia menjadi ikutan pasukan lain dalam menjadikan hoki satu sukan berindustri dan berdaya saing.

12. BOLA SEPAK PRA-PIALA DUNIA

Dihimpit kegagalan apabila tewas seawal halangan pertama di tangan Singapura pada Julai 2011, pasukan negara berpeluang menebus kekecewaan itu. Soalnya apakah Dollah Salleh dapat membentuk campuran pemain senior dan bakat muda untuk meningkat setakuk lagi selepas muncul naib juara Piala AFF?

13. HARIMAU MUDA YANG GARANG

Konsep Harimau Muda diwujudkan sebagai pasukan pelapis untuk membekalkan bakat kepada pasukan senior bola sepak negara dan seluruh negara menanti pemain muda matang segera agar dapat mengambil alih tugas generasi terdahulu.

14. SUKAN MALAYSIA (SUKMA) UNTUK REMAJA

Isu bakat di kalangan lepasan sekolah yang terpinggir boleh diatasi dengan antara lain menurunkan had umur temasya Sukma kepada atlet bawah 20 tahun, lantas memaksa persatuan sukan kebangsaan dan negeri berserta Majlis Sukan negeri masing-masing mewujudkan program menggilap atlet dalam kelompok usia 17-19 tahun.

15. MENGGILAP PERMATA DI SEKOLAH

Kejayaan kontinjen negara mengutip 41 pingat emas pada Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN di Filipina tahun lalu membuktikan sukan tidak dipinggir daripada pembangunan sahsiah pelajar di bawah naungan Kementerian Pelajaran. Sistem persekolahan kebangsaan masih sumber bekalan atlet negara yang harus diberi sokongan semua pihak.