KUALA LUMPUR, 23 Februari:

Selepas catatan 10.29 saat yang dilakukannya tidak diiktiraf, pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abd Manap menyasarkan Kejohanan Terbuka Pahang, Mac ini, sebagai pentas untuk mencipta rekod kebangsaan baru acara 100 meter.

Badrul Hisyam, 19, berkata beliau memilih kejohanan dalam negara berbanding
Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat untuk mencipta rekod kebangsaan baru, bagi memupuk keyakinan supaya dapat terus beraksi dengan lebih baik.

“Saya rasa peluang beraksi di kejohanan luar negara adalah banyak dan saya boleh menyertainya selepas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak nanti.

“Buat masa sekarang, saya mahu fokus kepada kejohanan tempatan untuk memecahkan rekod kebangsaan berusia 17 tahun. Harap kali ini nasib menyebelahi saya,” katanya selepas menerima penajaan sebuah syarikat peralatan sukan hari ini.

Pelari pecut dari Melaka itu juga dilantik sebagai duta syarikat itu selama setahun, bermula hari ini.

Catatan 10.29 saat yang dilakukan Badrul Hisyam di Sukan Sekolah-sekolah Asean di Brunei, November lepas tidak diiktiraf, walaupun mengatasi rekod kebangsaan 10.30 saat milik Watson Nyambek yang dilakukan pada 1998, atas kesilapan teknikal.

Ini kerana, penganjur tidak meletakkan alat pengukur angin di kedudukan tepat, selain gagal menyediakan bukti ‘photofinish’ seperti yang termaktub dalam peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Terbuka Pahang yang julung kali disertai Badrul Hisyam menjadi kejohanan pembuka tirai untuknya tahun ini dan beliau dijangka menerima cabaran hebat daripada seorang lagi pelari pecut dari Melaka, Khairul Hafiz Jantan.

Sementara itu, jurulatihnya, Mohd Poad Kassim yang telah melatih Badrul Hisyam sejak berusia 10 tahun berkata, prestasi anak didiknya kini kian meningkat.

“Semasa latihan, Badrul Hisyam mampu buat sehingga 10.01 saat dan catatan masanya sangat konsisten. Jadi, untuk pastikan keyakinan dan prestasinya meningkat, saya mahu beliau terus bersaing dalam kejohanan dalam dan luar negara,” katanya.

Mohd Poad berkata, sebelum beraksi di Sukma Sarawak pada Julai nanti, Badrul Hisyam dijadualkan menyertai Terbuka Australia pada Mac dan Kejohanan Remaja Asia di Vietnam pada Jun.