KUALA LUMPUR, 22 Februari:

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mencadangkan gol jaringan pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2016.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan media berkata, FAM mencadangkan kepada FIFA agar gol dijaringkan pemain berusia 29 tahun itu disenaraikan untuk mendapat anugerah berkenaan.

Gol yang melencong cantik, sebelum menerjah gol lawan itu, terhasil menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter pada perlawanan Liga Super, ketika Pulau Pinang bertemu Pahang di Stadium Bandaraya, pada 16 Februari lepas.

Ia segera menjadi viral di media sosial, dengan ramai pihak menyifatkan ia seakan-akan gol jaringan pemain bek kiri Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada 1997.

“FAM turut melampirkan salinan video gol tersebut untuk dinilai oleh FIFA. Senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas 2016 itu akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya.

“Bagaimanapun, FAM berpendapat, surat cadangan tersebut tetap perlu dihantar kepada FIFA, sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA,” katanya.

Hamidin berkata, berdasarkan keunikan gol berkenaan, FAM turut yakin ia akan berjaya tersenarai sebagai antara 10 calon gol tercantik dunia dan layak bagi pencalonan Anugerah Puskas.

Katanya, jika nama Mohd Faiz tersenarai, ia sekali gus bakal mencatat satu sejarah baru buat bola sepak Malaysia.

Anugerah Puskas yang diperkenalkan FIFA pada 2009 ialah anugerah untuk gol terbaik sepanjang tahun.