KUALA LUMPUR, 10 Februari:

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) meminta tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) menjelaskan tunggakan gaji pemain berjumlah kira-kira RM4.32 juta bagi musim lepas, sebelum Liga M 2016 membuka tirai hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail meminta pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melunaskan hutang pemain berjumlah RM3.7 juta, Kelantan (lebih RM400,000) dan Felda United FC (FUFC) (RM220,000), demi menjamin kebajikan pemain terbabit.

Bagi kes membabitkan pasukan ATM, pemain didapati mempunyai dua kontrak,  Kontrak A iaitu kontrak rasmi disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kontrak B melibatkan ATM dan pemain sahaja, yang mempunyai jumlah gaji berbeza.

“Jawatankuasa Status FAM hanya mengambil kes Kontrak A, manakala bagi Kontrak B, kita telah failkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada masa ini, 15 pemain ATM masih mempunyai tunggakan gaji selama sebulan bagi Kontrak A dan Kontrak B pula, ada tunggakan enam bulan.

“Berhubung isu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), pemain mempunyai tunggakan antara tiga dan empat bulan. Kami mendapati KAFA telah melunaskan gaji pemain yang masih bersama pasukan itu tetapi tidak membayar gaji lima bekas pemain,” katanya pada sidang media di Wisma OCM, semalam.

Bagi kes FUFC, walaupun Jawatankuasa Status FAM pada 8 Dis lepas memutuskan kelab itu perlu membayar pampasan RM220,000 dalam masa 14 hari kepada Azrul Ahmad yang ditamatkan kontrak, kelab itu masih tidak melunaskan gaji pemain terbabit sehingga sekarang.

Media difahamkan, jumlah gaji dalam Kontrak B adalah lebih tinggi berbanding Kontrak A, dan perkara itu menjadi kebiasaan dalam kancah bola sepak tanah air.

Izham turut meminta FAM dan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), entiti swasta yang menguruskan liga tempatan bermula musim ini, supaya mengambil tindakan lebih tegas jika perkara itu berulang, selain meminta pemain menghentikan budaya menandatangani kontrak bersama dua pasukan berbeza.

“Proses dan sistem sedia ada FAM ini sangat mengelirukan dan tergantung, mereka perlu lebih proaktif dalam menyelesaikan isu gaji pemain. Kita telah menghantar contoh kontrak yang digunakan di Jepun dan Australia kepada FAM,” katanya.

Sementara itu, Presiden PFAM Hairuddin Omar, yang merupakan antara pemain terjejas dalam isu berkenaan, kecewa terhadap Jawatankuasa Status FAM yang kurang efisien bagi menyelesaikan perkara itu yang berulang pada setiap musim.

“Banyak kes yang kita hantar memang lambat respons, seperti Izham beritahu sebelum ini, untuk beri respons sahaja mereka (FAM) mengambil masa 100 hari. Ini sangat tidak sihat dalam bola sepak kita.

“Mengambil contoh kes Obinna Nwaneri, Jawatankuasa Status FAM tela mengarahkan KAFA membayar gaji pemain itu hampir setahun lepas, tetapi sehingga sekarang KAFA masih belum bayar.

“Saya harap FAM memainkan peranan yang besar dengan mengambil tindakan tegas supaya perkara ini tidak berulang,” kata bekas pemain ATM yang berpindah ke Terengganu, musim ini.

Bagi seorang lagi bekas pemain ATM, K. Reuben, perkara sedemikian boleh menjejaskan fokus dan prestasi seseorang pemain.

“Secara jujur, saya terpaksa pinjam duit daripada ahli keluarga untuk hal rumah dan ada masa untuk membaiki kereta. Kita yang bergelar pemain bola sepak profesional di liga profesional malu dengan keadaan ini.

“Ia perkara yang dijanjikan, maka kita sebagai pemain telah memberi seratus peratus demi pasukan tetapi gaji masih tidak dibayar sampai ke hujung liga walaupun sudah bertukar pasukan,” kata beliau yang akan menyarung jersi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) musim ini.