KOTA BHARU, 2 Februari:

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa memberitahu Kafa tidak akan menutup pintu kepada Syahrul Azwari Ibrahim dan berhasrat mahu mengekalkannya sebagai pemain Kelantan.

Jelasnya, Kafa bersifat terbuka di dalam hal ini dan menganggap Syahrul sebagai pemain yang berharga.

“Kafa akan berjumpa dengan pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) pada 11 Februari ini dan mereka mematuhi keputusan yang dibuat FAM.

“Kafa juga akan menghubungi Syahrul Azwari bagi memberitahu pendirian kita kepadanya. Apa yang jelas kita tidak akan menutup pintu kepadanya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Laporan sebelum ini menyatakan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dinasihat supaya membatalkan semula kontrak yang ditandatangani dengan bekas pemain Harimau Muda kelahiran Kelantan, Syahrul Azwari jika tidak mahu berdepan penggantungan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, selain FAS, Syahrul Azwari bakal berdepan tindakan sama berdasarkan Artikel 22, status perpindahan pemain bola sepak Malaysia.

Oleh yang demikian FAS disifatkan supaya membatalkan kontrak tersebut jika ia sudah ditandatangani, jika gagal berbuat demikian, Jawatankuasa Status Pemain FAM boleh mengambil tindakan ke atas mereka dan Syahrul Azwari.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa melahirkan mengecewakan berhubung isu perpindahan Syahrul Azwari ke Sarawak untuk saingan musim 2016.

Mengikut peraturan, seseorang pemain Harimau Muda yang dibebaskan perlu kembali semula ke negeri dia memulakan kerier sebagai pemain bola sepak.

Dalam kes Syahrul Azwari dia perlu kembali ke negeri Kelantan dan itu peraturan yang jelas.

Difahamkan, sekiranya Kafa mahu mengikat pemain tersebut persatuan perlu membayar gaji pemain itu dengan kenaikan paling minima iaitu sebanyak 30 peratus daripada gaji asal ketika bersama dengan Harimau Malaya.

Tanggungjawab pemain ialah harus kembali semula ke negeri asal manakala persatuan negeri perlu membayar gaji.

Jelas Takiyuddin, sekiranya persatuan negeri boleh penuhi syarat itu, bererti pemain berkenaan perlu beraksi sekurang-kurangnya setahun tahun bersama negeri asalnya.

Katanya, jika Kelantan enggan membayar gaji pemain itu dan negeri yang lain mahu mendapatkan khidmat Syahrul Azwari, mereka perlu mendapat persetujuan daripada Kafa terlebih dahulu.