PASIR PUTEH, 1 Februari:

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa memberitahu jersi utama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) adalah pink dan warna merah adalah jersi kedua di laman sendiri.

Jelasnya, isu jersi sebenarnya memang ada masalah sedikit dan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagi Datuk Seri Vida (DSV) sudah melakukan perundingan dengan syarikat sebelum ini dan isu itu sudah dianggap selesai.

Katanya, jersi pasukan Kelantan musim ini adalah hasil kreativiti DSV dengan jenamanya dan diharap tidak akan dijadikan isu lagi selepas ini.

“Sebenarnya Kafa sudah melakukan rundingan awal dengan syarikat terdahulu sebelum disertai kemudiannya oleh DSV. Dalam isu ini DSV diminta oleh Kafa supaya berunding dengan pihak terbabit kerana Kafa mempunyai baki kontrak selama setahun lagi dengan syarikat itu (HORC).”

Annular berkata, syarikat itu sudah menyerahkan hak kepada DSV dan penaja utama PQPTRW terbabit mempunyai hak eksklusif untuk pakaian utama pasukan Kelantan.

“Jersi eksekutif jenama DSV itu bakal dikeluarkan pada 11 Februari ini oleh beliau sendiri di mana pink adalah jersi utama dan merah jersi kedua di laman sendiri.

“Untuk perlawanan di tempat lawan kita mempunyai jersi berwarna pink, putih dan hitam. Apapun kita perlu ingat warna asas pasukan Kelantan adalah merah dan nama The Red Warriors adalah satu nama yang sinonim dengan Kelantan,” katanya.

Bagaimanapun, Annuar berkata isu warna tidak perlu diperbesarkan kerana pasukan Kelantan sebenarnya memerlukan satu suntikan idea baru yang lebih segar.

Katanya, beliau sendiri tertarik dengan segala kreativiti yang ada pada DSV yang boleh membawa `keharuman dan kesegaran’ kepada pasukan Kelantan.

“Sepertimana yang kita tahu kehebatan kita sebenarnya mengalami penurunan dan memerlukan suntikan baru yang lebih segar dan bersemangat.

“Apa yang kita lihat, bulan sahaja Kelantan malah pasukan lain juga mengalami nasib sama contohnya ATM. Kita sendiri sudah merangkul tiga piala tetapi tetap meneruskan.

“Tidak terkecuali pasukan liga luar yang mengalami kemerosotan selepas mengecap kejayaan. Bila hilang harumnya kita perlu cari pendekatan baru dan tidak boleh hanya statik sahaja dan saya suka dengan idea DSV. Kita perlu ambil sikap terbuka dalam hal ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, Kelantan sudah melengkapkan senarai kemudiannya termasuk pemain impot yang akan diperkenalkan malam esok iaitu sebelum perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur.

Jelasnya, untuk pemain impot Kafa berbelanja sehingga RM5 juta dengan gaji setiap pemain impot dianggarkan RM100,000.

“Kafa sudah membuat perjanjian dengan setiap pemain di mana kita memberi mereka tempoh dalam enam bulan pertama supaya mengekalkan prestasi memuaskan.

“Sekiranya prestasi mereka dilihat tidak memuaskan mereka akan diberi notis sebulan dan dibayar dua bulan gaji untuk dilepaskan. Setiap percaya setiap pemain sudah memahami apa yang dipersetujui,” katanya.