IPOH, 1 Februari:

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bakal menerima tajaan berjumlah RM7.8 juta daripada 44 agensi dan syarikat di Perak bagi memperkuat kemampuan pasukan ‘The Bos Gaurus’ dalam menghadapi saingan Liga Super musim 2016.

Agensi dan syarikat yang menaja pasukan Perak termasuk Lembaga Air Perak (LAP) sebanyak RM3 juta dan syarikat menjual kelengkapan sukan Al-Ikhsan berjumlah RM500,000.

Presiden PAFA Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata tajaan itu akan menjadi pencetus semangat kepada pasukan bola sepak Perak untuk berusaha lebih kuat bagi memastikan kejayaan pasukan, musim ini.

“Pasukan Perak akan sentiasa berusaha untuk mempertingkat mutu permainan terutamanya dalam menghadapi perlawanan Liga Super musim ini yang akan bermula Februari depan,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan PAFA di sini
malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Timbalan Presiden PAFA Datuk Shahrul Zaman Yahya yang juga pengurus pasukan The Bos Gaurus.

Pada majlis itu, PAFA turut memperkenalkan 22 pemain skuad Perak untuk musim ini termasuk tiga pemain import baharu, masing-masing dua dari Uzbekistan iaitu Vokhid Shodiev dan Oybek Kiliche serta Elias Fernandes de Oliveira dari Brazil.

PAFA secara rasminya juga memperkenalkan jersi baharu The Bos Gaurus kepada umum dengan menampilkan warna rasmi negeri Perak iaitu kuning dan hitam yang direka khusus untuk barisan pemain.

Sementara itu, Zambry dalam ucapannya berharap Perak dapat melahirkan pemain berkaliber di peringkat negeri serta kebangsaan yang akan dipelopori pemain pelbagai kaum.

“Sukan tidak hanya dimiliki oleh satu kaum sahaja dan saya mengharapkan pasukan bola sepak Perak akan terdiri daripada pelbagai kaum satu hari nanti,” katanya.