ISKANDAR PUTERI, 30 Januari:

Pembinaan stadium baru bagi kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bermula selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim berkata, kerja pembersihan tapak telah pun dijalankan pemajunya, Forest City.

“Dari perancangan, kita jangka stadium ini dapat disiapkan dalam tempoh setahun setengah.

“Namun, saya yakin dengan pembangunan yang dibuat Forest City, ia akan dapat dipercepatkan kepada tempoh setahun,” katanya selepas upacara pecah tanah projek Bandar Sukan JDT, hari ini.

Stadium Sultan Ibrahim Larkin boleh menampung 45,000 penonton pada satu-satu masa dan dibina dengan kos kira-kira RM200 juta, untuk menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin yang akan diberikan khusus kepada JDT 2.

Manakala Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pula untuk kegunaan JDT 3 dan JDT 4.

Ismail berkata, stadium baru berkeluasan 12.1 hektar itu, turut dilengkapi kemudahan seperti hotel, pangsapuri, pusat beli-belah, padang sukan ragbi, gelanggang tenis dan futsal yang dibangunkan secara berperingkat di tanah seluas 16.2 hektar lagi.

Upacara pecah tanah dirasmikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT.

Turut berangkat ialah isteri baginda, Che Puan Khaleeda Bustamam dan adinda baginda, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah serta Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Latif Bandi.