ISKANDAR PUTERI, 26 Januari:

Membariskan semua pelayar Malaysia, Pasukan HazOne Racing yang diketuai Hazwan Hazim Dermawan mencipta sejarah, apabila memenangi satu perlumbaan pada Piala Monsun Malaysia 2015/2016 yang berlangsung di Puteri Harbour Marina, hari ini.

Pelayar berusia 27 tahun dari Johor itu, berjaya mencuri satu mata, apabila berdepan Keith Swinton dari pasukan Black Swan Racing, dengan kelebihan 16 saat.

Pencapaian HazOne Racing itu adalah yang pertama bagi pasukan terdiri daripada semua pelayar Malaysia, sejak penganjuran Piala Monsun, 11 tahun lalu.

Sebelum ini, juragan Malaysia yang memenangi perlumbaan pada kejohanan itu adalah Tiffany Koo bersama pasukannya, Selangor Gapurna yang terdiri daripada gabungan pelayar tempatan dan luar negara, pada 2006.

Walaupun Hazwan bermula agak lambat, pasukan beliau mampu mengharungi tiupan angin dan berjaya mengejar Swinton yang merupakan pelayar berpengalaman dari Australia, untuk menamatkan perlumbaan dalam kedudukan selesa.

“Diperkuatkan dengan lima kru memberi kelebihan kepada kami, berbanding pasukan lain yang menggunakan empat pelayar. Ia memberi kelebihan kepada kami dari segi tenaga kerja,” katanya selepas perlumbaan hari ini.

Hazwan berkata, pasukannya perlu memperbaiki prestasi mereka, terutama semasa peringkat permulaan, selepas melakukan beberapa kesilapan semasa perlumbaan kedua dan ketiga.

“Permulaan yang baik boleh menyumbangkan kira-kira 80 peratus terhadap kemenangan. Matlamat kami adalah meraih seberapa banyak mata selepas kemenangan pertama ini,” katanya.

Pada saingan hari ini, Hazwan turut dibantu Muhammad Shaiful Bakhtiar, Hazairul Muhammad, Muhammad Azrul Affizie dan Harrith Ammry Nassution Hairuddin.

Terdahulu, Hazwan hampir mengejutkan juara dunia lima kali, Ian Williams semasa perlumbaan kedua, selepas menamatkan saingan hanya dua saat di belakang juragan berasal dari Britain itu.

Hazwan juga terpaksa akur, apabila berdepan pelayar New Zealand, Phil Robertson daripada pasukan WAKA Racing.

Bekas pelayar negara itu akan berdepan pelayar Sweden, Johnie Berntsson daripada Pasukan Layar Berntsson; Reuben Corbett (Pasukan Corbett Racing) dari New Zealand dan seorang lagi pelayar Sweden, Bjorn Hansen daripada pasukan Nautiska Racing, esok.