KUALA LUMPUR, 24 Januari:

Stadium baru untuk skuad Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dilaporkan bakal dibina di Nusajaya, dijangka dapat disiapkan dalam tempoh setahun setengah.

Pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, baginda dimaklumkan mengenai perkara itu oleh sebuah syarikat terkemuka yang bakal membina stadium berkenaan.

Baginda menerusi catatan terbaru dalam laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, turut menyatakan majlis pecah tanah stadium baru itu akan diadakan pada 30 Januari ini, bersama penyokong skuad Harimau Selatan yang disifatkan baginda sebagai sebahagian daripada kunci kejayaan kelab berkenaan selama ini.

“Alhamdulillah, JDT kini berada di kelasnya tersendiri dan saya amat bersyukur atas rezeki yang diberikan kepada kami. Allah Peliharakan Sultan, Kepada Allah Kami Berserah,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut berterima kasih kepada ayahanda baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan mengurniakan tanah bagi menubuhkan Bandar Sukan JDT, selain turut memberi sejumlah dana kepada skuad Harimau Selatan untuk pembinaan stadium baru.

Semalam, Sultan Ibrahim dilaporkan berkenan mengurniakan tanah seluas 28 hektar, pemberian kerajaan negeri untuk pembinaan Bandar Sukan JDT yang bakal menempatkan pelbagai jenis sukan di bawah nama JDT, selain beberapa kemudahan lain, seperti hotel, pangsapuri dan pusat beli-belah.

Baginda turut berkenan memberi sejumlah dana kepada pasukan JDT untuk membiayai pembinaan stadium baru JDT.

Pada 10 Januari lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan berkenan memberi dana RM50 juta kepada JDT, kerana gembira melihat sukan bola sepak memainkan peranan penting dalam menyatupadukan Bangsa Johor serta mengharumkan nama Johor di persada dunia.