KUALA LUMPUR, 11 Januari:

Tajaan Vida Beauty Sdn Bhd kepada pasukan Kelantan serta sumbangan RM50 juta yang dikurniakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan perkembangan positif buat industri bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, senario itu menunjukkan kelainan dan memperlihatkan ada nilai tinggi dalam sukan tempatan.

Sehubungan itu, Khairy berharap akan ada lebih banyak syarikat yang tampil menaja industri sukan negara, tidak terhad kepada bola sepak sahaja.

“Yang penting, saya sangat kagum dan sudah pasti Sultan Johor sayangkan negeri dan apa yang Dr Vida buat atas keputusan korporat.

“Ia sangat positif untuk sukan, kerana kita selalu tengok penajaan dibuat untuk liga antarabangsa, tetapi sekarang ada nilai untuk liga tempatan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno, di Menara Datuk Onn, hari ini.

Khairy menyifatkan keputusan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi pemilik JDT dan pasukan tersebut ditukar sebagai kelab sepenuhnya, sangat tepat.

Jelasnya, Tunku Ismail telah membebaskan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk menguruskan pentadbiran dan membangunkan bola sepak Johor.

“Apa yang dilakukan itu sangat sesuai dengan tuntutan bola sepak moden, yang mana bola sepak bukan lagi di bawah negeri, tetapi kelab sepenuhnya,” ujarnya.