KUALA LUMPUR, 8 Januari:

Skuad bola sepak negara sekali lagi jatuh ke paras terendah pernah dicatatnya dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), apabila sekali lagi berada pada kedudukan 171 dalam senarai ranking terkini yang dikeluarkan semalam.

Malaysia yang jatuh kepada tempat ke-171 pada Oktober lalu, tetapi menaiki satu tangga ke kedudukan 170 sebulan kemudian, sebelum merosot ke ranking terendahnya, iaitu tempat ke-171, sejak sistem ranking diperkenalkan FIFA pada Disember 1992.

Ketiadaan perlawanan antarabangsa mungkin antara faktor kejatuhan ranking Harimau Malaya, yang kali terakhir beraksi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, menentang Emiriah Arab Bersatu dan tewas 1-2 di Stadium Shah Alam, pada 17 November lalu.

Malaysia kini berada di dalam kelompok negara seperti Timur Leste (tempat ke-170), Mauritius (172), Puerto Rico (172) dan Comoros (174).

Ranking terbaik Malaysia ialah pada kedudukan 75 pada 1993.

Jiran Malaysia, Thailand merekodkan peningkatan ketara dalam ranking bulan ini, apabila melonjak 12 anak tangga ke kedudukan 121.

Sejak dikemas kini terakhir, tiada perubahan dalam tempat 20 teratas yang menyaksikan Belgium kekal di kedudukan pertama, diikuti Argentina,  Sepanyol dan Jerman yang masing-masing berada di tempat kedua, ketiga dan keempat.