KUALA LUMPUR, 30 Disember:

Lima persatuan negeri menerima padah, setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendenda mereka, selain diberi amaran keras, susulan tindakan liar penyokong masing-masing dalam Liga Malaysia.

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) didenda RM15,000, selepas penyokong mereka bertindak melontar botol air minuman dan suar ke padang, pada aksi separuh akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Felda United, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 2 Disember lalu.

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) turut didenda dengan jumlah sama, susulan tindakan penyokong mereka yang membakar mercun semasa perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh, 5 November lalu.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pula didenda RM12,000, susulan tindakan penyokong mereka membakar suar dan mercun selepas perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia antara pasukan itu dan Lions XII, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, 4 November lalu.

Turut menerima nasib sama adalah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang didenda RM7,500, susulan tindakan penyokong mereka menceroboh masuk ke padang, selepas aksi separuh akhir Piala Malaysia antara The Red Giants dan Pahang di Stadium Shah Alam, 6 Disember lalu.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula didenda RM5,000, berikutan tindakan penyokong mereka menceroboh masuk ke padang, selepas aksi Liga Super antara JDT dan Felda United, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 22 Ogos lalu.

FAM memaklumkan, kesemua pasukan terlibat didenda, selepas didapati bersalah melanggar ‘Artikel 70 para 1 dan 2 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Tanggungjawab bagi kelakuan penonton’, selain ia merupakan kesalahan berulang yang termaktub di bawah Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015.

Badan induk itu menegaskan, kesemua pasukan terlibat bakal berdepan tindakan lebih berat, sekiranya mengulangi kesalahan sama.