MANCHESTER, 15 Oktober:

Ejen kepada penjaga gol veteran, Victor Valdes berkata kliennya perlu meninggalkan Manchester United pada Januari selepas ‘dikuarantin’ oleh Louis van Gaal, tetapi kemungkinan untuk kembali ke Sepanyol adalah nipis.

Valdes, 33, yang dilarang Van Gaal menjalani latihan dengan rakan sepasukan, telah dikaitkan dengan beberapa kelab yang berbeza termasuk Chelsea, Liverpool, Besiktas, Sevilla dan Newcastle, lapor ESPN.

Ejen kepada bekas penjaga gol Barcelona itu, Gines Carvajal berkata pemain yang pernah menjulang kejohanan Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali itu akan berpindah pada bulan Januari, tetapi tidak menyatakan nama kelab secara spesifik.

“Saya pasti tentang perkara ini,” kata Carvajal.

“Adalah jelas dia mesti meninggalkan kelabnya pada bulan Januari, dan kami sedang mencari penyelesaian terbaik. Pendapat peribadi saya tidak mungkin ke Sepanyol, melainkan jika dia mengatakan sesuatu yang berbeza,” tambahnya lagi.