LONDON, 11 September:

David De Gea mahu menandatangani kontrak baharu bersama Manchester United selepas perpindahannya ke Real Madrid tidak menjadi kenyataan, menurut laporan di Sepanyol.

Timbul khabar angin pada malam Khamis yang mendakwa rundingan kontrak masih terbuka antara United dan De Gea.

Presiden Real Madrid Florentino Perez pada malam Rabu mengemukakan beberapa bukti bahawa United telah merosakkan perjanjian tersebut.

Malah United dikatakan tidak lagi membenarkan Real Madrid untuk mendapatkan khidmat bintang Sepanyol itu ketika pintu perpindahan pemain dibuka semula Januari tahun depan.

Ini menyebabkan De Gea terdesak untuk menandatangani kontrak baharu bersama Red Devils.

Perjanjian baharu itu akan menyaksikan De Gea yang menerima pendapatan sebanyak 35,000 pound seminggu akan mendapat kenaikan menyamai gaji yang diterima pemain terkemuka kelab tersebut.