LOS ANGELES, 25 Ogos:

Pemandu IndyCar, Justin Wilson meninggal dunia di hospital hari ini selepas mendapat kecederaan parah di kepala ketika menyertai satu perlumbaan.

“Ini satu saat yang sedih kepada sukan lumba IndyCar dan juga kepada komuniti pelumba,” kata Miles, Ketua Eksekutif Syarikat Siri IndyCar, Hulman and Co.

Wilson, 37, dilaporkan koma selepas melanggar serpihan kereta ketika perlumbaan Siri IndyCar di Litar Pocono Speedway, semalam.

Juara tujuh kali perlumbaan IndyCar, Wilson, dari Sheffield, meninggalkan isterinya, Julia, dan dua orang anak perempuan.

Dalam satu kenyataan keluarganya berkata beliau adalah seorang “Bapa dan suami yang setia, penyayang, serta seorang pemandu kereta lumba yang kompetitif yang dihormati oleh rakan-rakannya”.

Abangnya  Stefan juga seorang pemandu kereta lumba.