LONDON, 25 Ogos:

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan aksi pasukannya sangat mendatar musim ini selepas mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Gunners bangkit daripada kekalahan kepada West Ham dengan menewaskan Crystal Palace, tetapi seri tanpa jaringan dengan Liverpool pada Isnin.

“Kami telah memulakan saingan dengan sangat mendatar.

“Beberapa pemain telah hilang sedikit ketajaman dengan permainan kami masih belum mencecah tahap sebenar,” kata Wenger yang dipetik dari portal BBC.

Perlawanan seterusnya Arsenal akan berkunjung ke Newcastle pada Sabtu, dengan Wenger dijangka akan menepati spekulasi dengan akan membawa pemain tambahan ke Stadium Emirates sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September.

Gunners gagal menjaringkan gol dalam lima daripada enam perlawanan Liga Perdana di tempat sendiri, tetapi spekulasi mengaitkan penyerang Real Madrid, Karim Benzema kelihatan tidak berjaya selepas pemain antarabangsa Perancis itu berkata akan kekal di Bernabeu.

Barisan pertahanan skuad Wenger mula menjadi perhatian selepas Per Mertesacker dan Laurent Koscielny dilanda kecederaan.

Ini disebabkan pengganti pertahanan tengah Arsenal, Calum Chambers dan Gabriel yang tidak berpengalaman kelihatan goyah menentang Liverpool.

Dalam pada itu Wenger mendakwa sebelum perlawanan semalam, Arsenal mempunyai pemain ‘dalaman’ untuk mencabar kejuaraan sambil menambah bahawa dia bersedia untuk bertindak secara drastik jika ada peluang ketika pintu perpindahan masih dibuka.