LONDON, 14 Ogos:

Kemelut David De Gea bersama Manchester United belum berakhir apabila penjaga gol itu mendedahkan dia berasa ‘bingung’ dengan kenyataan yang dibuat oleh pengurusnya, Louis van Gaal.

De Gea sekali lagi tidak disenaraikan dalam barisan utama menjelang perlawanan kedua aksi liga bertemu Aston Villa awal pagi Sabtu.

Menurut Van Gaal, De Gea tidak akan berada dalam skuadnya sehingga musim perpindahan pemain ditutup memandangkan spekulasi pemain itu mahu berpindah ke Real Madrid belum selesai.

Jelasnya, De Gea telah memberitahu jurulatih penjaga gol Frans Hoek pada perjumpaan minggu lalu bahawa dia tidak mahu bermain pada aksi pembukaan bertemu Tottenham.

“Kami telah bercakap dengannya. Dia bersetuju sepenuhnya dengan keputusan itu.

“Saya mempunyai seorang penolong jurulatih dan seorang lagi pembantu, jadi kami berbincang mengenai perkara ini.

“Kami mempunyai jurulatih penjaga gol, Frans Hoek. Saya tidak akan membuat keputusan berseorangan.

“Frans Hoek ada berjumpa dengan De Gea dan bertanyakan kepadanya, “kamu mahu bermain? Dan dia jawab tidak.”

“Dan saya perlu membuat keputusan. Ia adalah satu proses. Kami juga turut memantaunya ketika persiapan skuad, dan dia belum cukup bagus. Dia bukan lagi seperti David de Gea sebelum ini.

“Dia adalah pemain terbaik saya musim lepas. Menurut peminat-peminat, dia adalah yang terbaik sejak dua tahun lalu,” jelas Van Gaal.

Sementara itu, De Gea percaya prestasinya berada di tahap tertinggi malah bersedia jika diberi peluang bermain ketika menentang Tottenham minggu lalu.