NEW JERSEY, 23 Julai:

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho mempertahankan penjaga golnya, Asmir Begovic, 28 yang kelihatan ‘letih’ selepas melepaskan empat gol pada penampilan sulung ketika tewas 2-4 kepada New York Red Bulls pada Rabu.

Penjaga gol kelahiran Bosnia itu, bertindak sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, dengan menentang pasukan yang terdiri daripada pemain pembangunan.

“Jika kami menang 10-0, saya tidak akan gembira kerana ia bermakna terlalu mudah.

“Begovic tidak fokus, disebabkan keletihan akibat latihan. Dalam perlawanan seterusnya menentang PSG, dia akan bermula dalam kesebelasan utama,” kata Mourinho yang dipetik daripada BBC.

Ia adalah perlawanan pertama daripada tiga perlawanan jelajah pramusim Amerika Syarikat juara Liga Perdana Chelsea itu.

Begovic, menyertai Chelsea dari Stoke City bulan ini, menggantikan Thibaut Courtois ketika Chelsea mendahului 1-0 hasil jaringan Loic Remy.

“Saya terkejut dengan kelalaian benteng kami.

“Saya terkejut bahawa kami tidak cukup baik pada separuh masa kedua untuk menangani tentangan itu (pasukan tuan rumah),” kata Mourinho.

Chelsea akan menentang juara Perancis, Paris St-Germain di North Carolina pada Sabtu dan juara Sepanyol, Barcelona di Washington DC pada 29 Julai.

The Blues berdepan Arsenal dalam Perisai Komuniti pada 2 Ogos sebelum memulakan kempen Liga Perdana menentang Swansea pada 8 Ogos.