KUALA LUMPUR, 17 Jun:

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan syabas kepada atlet Malaysia di atas kejayaan meraih 186 pingat – 62 emas, 58 perak, 66 gangsa – pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Najib menerusi catatan terbaru di laman Facebooknya, berkata pencapaian kali ini lebih baik daripada Sukan SEA 2011 di Indonesia dengan pungutan 59 emas dan Sukan SEA 2013 di Myanmar dengan 43 emas.

“Kita pergi ke Singapura dengan sasaran untuk membawa pulang 184 pingat tetapi Alhamdulillah mendapat 186 pingat.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet dan pegawai. You made all of us and your country proud. Thank you (Anda membuat kami semua dan negara anda berasa bangga. Terima kasih),” katanya.

Kejayaan kontinjen negara pada temasya sukan di Singapura itu merupakan pencapaian kedua terbaik di luar Kuala Lumpur selepas edisi 2007 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia meraih 68 pingat emas.

Malaysia pernah muncul juara keseluruhan pada edisi 2001 yang dianjurkan di Kuala Lumpur, dengan kutipan 111 pingat emas, 98 perak dan 68 gangsa.