KUALA LUMPUR, 16 Jun:

Skuad Harimau Malaya malam tadi dimalukan di gelanggang sendiri apabila dibelasah teruk pasukan dari negara yang sedang bergolak Palestin 6-0 pada perlawanan Kumpulan A, kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa malam.

Percaturan yang dirangka ketua jurulatih pasukan kebangsaan Dollah Salleh ternyata tidak menjadi untuk menyekat semangat juang luar biasa yang dimiliki pasukan dari negara yang dihimpit pelbagai sekatan dan penindasan itu.

Walaupun membariskan pemain muda serta baharu, anak buah AbdelNasser Barakat itu dilihat menguasai keseluruhan babak perlawanan, dan gagal disekat barisan pemain Malaysia.

Palestin membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi rembatan Musab Battat dari luar kotak penalti selepas penjaga gol Malaysia Farizal Marlias berjaya menepis percubaan pertama pasukan pelawat itu.

Mohd Amri Yahyah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-23 dengan menguis bola ke gawang Palestin namun berjaya ditepis keluar penjaga gol Tawfiq Abuhammad.

Kesilapan pemain pertahanan Muhammad Zubir Azmi dimanfaatkan sebaik mungkin Sameh Maraaba yang merembat leret bola hasil hantaran lintang Tamer Seyam untuk gol kedua pasukan pelawat.

Pada minit ke-41, Tamer yang berjaya mengelecek tiga pertahanan Harimau Malaya pula menghasilkan gol ketiga buat Palestin.

Empat minit sebelum perlawanan separuh masa pertama tamat, pasukan tuan rumah sekali lagi hampir mendapatkan gol namun tandukan Muhammad Afiq berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan.

Sebaik babak kedua bermula, Mahali Jasuli membuat umpanan cantik kepada Muhammad Afiq yang berada di posisi terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-55, namun beliau gagal memanfaatkan peluang tersebut.

Pemain Palestin Khader Abuhammad (belakang) dan rakan sepasukannya meraikan kejayaan menjaringkan gol ketika menentang Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Bukit Jalil pada Rabu malam. - Foto Bernama
Pemain Palestin Khader Abuhammad (belakang) dan rakan sepasukannya meraikan kejayaan menjaringkan gol ketika menentang Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Bukit Jalil pada Rabu malam. – Foto Bernama

Terus ketinggalan 0-3, Malaysia turut memiliki peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ke-60 apabila mendapat tendangan percuma,

Bagaimanapun ketangkasan penjaga gol lawan menidakkan rembatan kencang Safiq Rahim.

Tersentak dengan rembatan Syafiq itu, Palestin kembali menyerang dan berjaya menghasilkan gol keempat pada minit ke-63 menerusi pemain gantian Khader Abuhammad sebelum Sameh Maraaba sekali lagi menggegar gawang Malaysia pada minit ke-74.

Harimau Malaya hampir mendapat gol sagu hati pada minit ke-84, namun kali ini Muhammad Afiq yang berada di hadapan pintu gol tergelincir pula mengakibatkan beliau gagal menyempurnakan hantaran lintang Mohd Amri.

Lima minit sebelum wisel penamat, Palestin tidak memberikan simpati walau sudah mendahului 5 gol tanpa balas.

Pintu gol Harimau Malaya sekali lagi dibolosi apabila Tamer yang tidak dikawal barisan pertahanan Malaysia menjaringkan gol keenam.

Malaysia bakal berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Sept depan.