SINGAPURA, 16 Jun:

62 pingat emas merupakan catatan baru buat Malaysia dan ia merupakan hasil kejayaan kontinjen negara di temasya Sukan SEA yang ke-28 di Singapura.

Pada temasya di Manila pada tahun 2005, Malaysia mengumpul 61 pingat emas, 49 perak dan 65 gangsa.

Malaysia kekal di kedudukan keempat dengan 62 pingat emas, 58 perak dan 66 gangsa.

Kejayaan kontinjen negara di temasya Sukan SEA ke-28 mengumpul 62 pingat emas sehingga hari ini bukan saja mengatasi pencapaian di Sukan SEA Myanmar pada dua tahun lepas, malah menjangkau sasaran kerja 48 pingat emas ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Skuad badminton negara menambah dua pingat emas terakhir dalam acara perseorangan lelaki dan beregu wanita buat kontinjen negara di Sukan SEA ke-28 Singapura.

Pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng mudah mengenepikan rakan sepasukannya Muhamad Arif Ab Latif  dengan straight set 21-8 dan 21-9 dalam perlawanan akhir.

Dalam satu lagi final, beregu wanita negara, Soong Fie Cho/Amelia Alicia Anscelly menewaskan beregu sepasukan mereka Vivian Hoo/Woon Khe Wei untuk meraih pingat emas acara badminton di Sukan SEA ke-28 Singapura hari ini.