SUARA Hafizal Hamad sayup-sayup kedengaran, tenggelam dek tangisannya.

Dalam teresak-esak, Hafizal mengesahkan berita sedih – perginya pengulas tersohor, Datuk Hasbullah Awang yang menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Koronari Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 12.20 tengah hari, tadi.

Beberapa minit terdahulu, Hafizal, antara produk Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mendapat bimbingan terus daripada Hasbullah, memaklumkan khabar sedih itu kepada kumpulan pengacara dan pengulas Astro Arena menerusi aplikasi whatsapp.

Penulis terkejut dan tidak percaya.

“Betul bang, saya baru bercakap dengan anak Allahyarham,” kata Hafizal.

Kebetulan penulis berada tidak jauh dari IJN, lalu singgah memberi penghormatan terakhir, sambil mengucapkan takziah kepada anak-anaknya dan abangnya, Abdul Aziz.

Sepanjang bertugas sebagai wartawan, penulis tentunya berpeluang bertegur sapa dan berbincang dengan nama-nama besar dalam ulasan dan pemberitaan sukan.

Antaranya sudah tentu Hasbullah.

Generasi penulis dewasa mendengar suara Hasbullah mengulas detik-detik bersejarah, jatuh bangun dunia sukan negara, sama ada dalam bola sepak, badminton, hoki dan temasya sukan besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

Bermula sebagai pembantu siaran untuk RTM Kuantan pada 1974, Hasbullah berpindah ke Angkasapuri Kuala Lumpur pada 1980. Kerjaya anak jati Perak itu berkembang.

Pada era 1980-an, RTM adalah satu-satunya sumber dan info terkini sukan.

Tanpa nikmat siaran secara langsung di kaca televisyen sebagaimana yang dituntut generasi hari ini, suara lunak Hasbullah dan rakan-rakannya memenuhi halwa telinga peminat sukan yang sekadar memuaskan hati dengan melekatkan telinga di corong-corong radio.

Mendengar ulasan Amran Hamid, Zulkarnain Hassan, Husin Ibrahim, Baharin Tahir, Jamaluddin Alias, Jahaya Mahmud, Abdullah Hasim dan Hasbullah seolah-olah membawa kita menonton di tepi gelanggang. Begitulah dunia dahulu, apabila pendengar berimaginasi dan berfantasi sambil mendengar ulasan selari.

Di kaca televisyen pula, nama Hasbullah terpahat sebagai pengulas ketika Soo Beng Kiang dan Cheah Soon Kit mengutip mata kemenangan yang menjamin Piala Thomas pulang ke tanah air pada 1992, buat kali pertama sejak 1967.

Dengan gaya bersahaja, disulami fakta menarik dan ulasan yang melayan perasaan penonton, Hasbullah menyampaikan ulasannya dengan cara tersendiri.

Hasbullah bukan saja mengulas secara langsung, bahkan kerap menjadi perantara di studio. Tersenarai dalam kerjayanya yang panjang ialah liputan tujuh temasya Olimpik dari 1988 hingga 2012, tiga Sukan Komanwel, empat temasya Sukan Asia dan sembilan edisi Sukan SEA dari 1985 hingga 2007.

Allahyarham menerima Anugerah Penyiar Serba Boleh 1988, Pengulas TV Terbaik Sri Angkasa 1989, 1991 dan 2004.

Bersara awal pada 1992 dan berhijrah ke TV3 sehinggalah Hasbullah kembali menyertai RTM sebagai penyampai dan pengacara sambilan.

Khabar bahawa Hasbullah dipancing dari RTM ke Astro Arena turut mewarnai media sosial. Yang melamar Hasbullah ke Arena adalah ketua unit majalah, Slamet Sazly Yakub.

“Saya tidak akan lupa detik pertemuan di Seksyen 20 Shah Alam. Selepas main tarik tali, Allahyarham berkata: “Jangan risau, Mat Aku saja je. Aku pun dah tua. Aku taknak risau pasal apa-apa dah. Setahun dua aku masih boleh beraksi. Jadi terima kasih kepada kau dan Arena sebab nak aku join. Ya, aku nak habiskan karier aku di Arena. Aku setuju.”

Genap 62 tahun September tahun lalu, Hasbullah yang tidak lokek senyuman dan sentiasa sudi berkongsi ilmu, ghairah membincangkan bola sepak. Cintanya terhadap sukan itu subur.

Menitip mesej bahawa dia dan keluarga menunaikan umrah sehari selepas final Piala AFF, Hasbullah menulis : “Dipohon maaf semua dan doakan kembara iman ini. Tapi sempat jugak tengok MAS (Malaysia) capai kemenangan.”

Dunia sukan negara berkabung atas pemergian mengejut seorang pengulas sukan bertaraf legenda. Semoga rohnya mencapai kemenangan di sana.

Al-Fatihah.