PUTRAJAYA, 2 Februari :

Ketua jurulatih baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Azman Adnan ditagih membimbing skuad ‘The Cops’ untuk beraksi cemerlang dalam saingan Liga Super 2015, bagi mengulangi kegemilangan musim lepas, dengan muncul juara Liga Perdana.

Ketua jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Azman Adnan mengakui tugas berat menanti beliau apabila skuad bimbingannya yang beraksi dalam Liga Super 2015, disasarkan sekurang-kurangnya menjulang satu trofi.

Azman berkata bagi mengurangkan tekanan terhadap beliau dan anak buahnya, beliau mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan yang bakal dihadapi skuad ‘The Cops’ musim ini.

“Terus terang saya katakan, bukan mudah tanggungjawab saya. Saya lebih mengambil pendekatan menumpukan kepada perlawanan demi perlawanan dan berusaha  mencari kemenangan, kejayaan dan kejutan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, penaung skuad PDRM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bekas pemain kebangsaan yang juga bekas pemain Selangor itu, mampu mengendalikan pasukan PDRM seperti mana pernah dilakukan Dollah Salleh yang kini jurulatih skuad Harimau Malaya.

“Saya sudah kenal Azman sejak dulu lagi. Saya tahu komitmen beliau yang telah membawa nama baik pasukan kebangsaan.

“Azman…jangan kecewakan saya, jangan kecewakan IGP (Ketua Polis Negara) dan Timbalan IGP (Timbalan Ketua Polis Negara) serta polis-polis di sini. Saya akan melihat prestasi awak, Azman.

“Kalau tidak baik, tahulah saya hendak buat macam mana. Kalau baik, saya tahu bagaimana hendak balas budi baik Azman,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dan memperkenalkan pasukan bola sepak PDRM, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak PDRM dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata komitmen yang tinggi daripada semua pemain dan pengurusan akan membawa sesebuah pasukan bola sepak itu ke arah yang lebih tinggi selain dapat mengekalkan prestasi cemerlang.

Katanya, beliau mempunyai harapan tinggi terhadap skuad PDRM yang kemunculan pasukan itu sebagai juara Liga Perdana musim lepas dalam saingan Liga Super musim ini, diibaratkan seperti ‘bintang baharu’.

“Kita tahu untuk capai satu kejayaan bukan mudah, tetapi untuk mempertahankannya itu lebih sukar,” katanya.

Pada musim lepas, skuad PDRM meraih satu piala selepas muncul juara Liga Perdana setelah meraih 16 kemenangan, empat seri dan dua kalah daripada 22 perlawanan, namun langkah memburu dua lagi piala bertemu noktah apabila tewas dalam perlawanan suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

PDRM muncul juara Liga Perdana 2014, sekali gus layak beraksi dalam saingan Liga Super 2015.

Sementara itu, Noor Rashid berkata dengan semangat dan komitmen yang dipamerkan oleh pemain pada musim 2015, tidak mustahil pasukan The Cops mampu meraih sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan kali ini.

Katanya kejayaan meraih kejuaraan pada perlawanan Piala People 2015 di Maldives baru-baru ini, diharap menjadi suntikan semangat kepada pasukan jagaannya itu.

Pada perlawanan akhir Piala People Rabu lepas, skuad PDRM mengalahkan pasukan Maziya Sports and Recreation 5-4.

“Dengan kehadiran jurulatih baharu Azman Adnan, dua pemain kebangsaan, empat pemain import dan kombinasi pemain-pemain lain, saya yakin barisan musim ini  mantap.

“Saya berharap PDRM dapat memberikan saingan lebih sengit kepada pasukan-pasukan elit lain yang turut berada dalam Liga Super tahun ini,” katanya.

Skuad The Cops turut dibarisi dua pemain kebangsaan, Mohamad Muslim Ahmad dan Mohd Afif Amiruddin serta diperkuatkan empat pemain import iaitu Kughegbe Onoriode dari Nigeria, Ashfaq Ali selaku penyerang dari Maldives, Dramane Traore dari Mali (penyerang) dan pemain tengah dari Gambia Mohamadou Sumareh.

PDRM bakal berdepan Lions XII dalam perlawanan pertama saingan Liga Super 2015 pada 7 Feb di Stadium Shah Alam, yang juga venue perlawanan bagi skuad berkenaan musim ini.

SENARAI PENUH PEMAIN SKUAD PDRM:
———————————————————–
Penjaga gol: Wilfred Anak Jabun, Badrulzaman Abdul Halim.

Pemain tengah: Muhamad Eskandar Ismail, Ahmad Nizam Mohd Rodzi, Ahmad Nizam Mohd Rodzi, Mohd Shahril Izwan Abdullah, Ahmed Ezrie Shafizie Sazali, Shahurain Abu Samah, Mohd Lot Abu Hassan, Mohd Nurul Azwan Roya, Mohd Fauzi Abdul Majid, Mohammad Faizal Abu Bakar dan Mohamadou Sumareh.

Penyerang: Ashfaq Ali, Dramane Traore, Mohd Alafi Mahmud, Muhamad Asyidi Dil Ashar Yusof, Isma Alif Mohd Salim.

Pertahanan: Arman Fareez Mohd Ali, Mohd Fadhil Mohd Hashim, Mohd Azrul Azman, V. Thirumurugan, Mohd Afif Amiruddin, Kughegbe Onoriode, Mohd Fekry Tajudin, Mohamad Muslim Ahmad (ketua pasukan).