KASIHAN pemain bola sepak negara, Gary Steven Robbat.

Jambangnya menyembunyikan seribu satu keresahan.

Memandangkan bolasepak adalah sukan paling popular yang sudah lama bertapak di negara ini, dan status itu besar kemungkinan terus kekal, maka tidak terlewat rasanya untuk menyatakan banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada isu Gary.

Pemain itu kini sedang menjalani hukuman penggantungan tiga bulan dan didenda RM50,000 gara-gara melanggar syarat-syarat perpindahan yang termaktub dalam peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Gary disabitkan bersalah menandatangani kontrak dengan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ikatannya bersama Harimau Muda, iaitu pasukan yang ditaja sepenuhnya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), terlerai.

JDT pula dikenakan denda RM100,000 berserta amaran keras kerana menyumbang ke arah pelanggaran peraturan dan syarat-syarat dalam Artikel 17, Status dan Pemindahan pemain, manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terlepas dengan sekadar amaran.

Bagi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang menyangka mereka boleh mendapat sekurang-kurangnya pampasan kerana Gary berasal dari Kulim – mereka hanya menggigit jari.

Perkara pertama terlintas di benak penulis ialah bagaimana persatuan negeri yang melahirkan pemain tidak mendapat sebarang keuntungan apabila pemainnya berhijrah ke pasukan lain.

Perkara kedua, bagaimana seorang pemain boleh menandatangani kontrak dengan dua pasukan, sedangkan dia masih terikat dengan pasukan atau pihak ketiga.

Ketiga, kenapa Pahang tidak dikenakan hukuman, manakala JDT bukan sekadar didenda bahkan diberi amaran keras?

Bagi menyelesaikan masalah pertama, iaitu pemilikan pemain, FAM, persatuan negeri, kelab bola sepak dan Kementerian Pelajaran harus duduk semeja untuk merangka satu formula yang menguntungkan semua pihak.

Hari ini sistem yang ada masih pincang dan tidak memberi penghargaan kepada pasukan asal pemain.

Hakikatnya pemain yang ada potensi biasanya dikenal pasti di bangku sekolah.

Terbaik di kalangan terbaik ada pilihan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Kuala Lumpur, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Johor dan akademi bola sepak di Gambang, Kuantan, Pahang.

Lazimnya mereka berusia 13 tahun.

Isunya mereka mewakili negeri di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) seawal usia 11 dan 12 tahun.

Mereka kemudiannya mewakili negara di pelbagai kejohanan antarabangsa atas nama Harimau Muda tanpa sebarang ikatan dengan mana-mana negeri atau kelab.

Ini laluan kerjaya pemain seperti Aidil Zafuan Abdul Radzak, Khairul Fahmi Che Mat dan Safiq Rahim dalam mendaki tangga Liga M.

Mereka hanya menandatangani kontrak dengan pasukan negeri kelahiran mereka selepas tamat persekolahan.

Penulis mencadangkan agar pemain yang bernaung di peringkat sekolah mengikat kontrak perantis (apprentice) dengan mana-mana pasukan pilihan mereka, dengan opsyen untuk menukar perjanjian itu kepada perjanjian profesional pada usia 17 tahun.

FAM harus rangka satu garis panduan baru membabitkan pemain di peringkat sekolah.

Satu skim perantisan harus diwujudkan membabitkan kerjasama rapat kelab atau persatuan negeri dengan sekolah atau jabatan pendidikan.

Ini akan menyelesaikan masalah berkaitan kesetiaan atau naungan apabila mereka dikehendaki mewakili negeri masing-masing di pelbagai peringkat umur agar mereka tidak dijadikan komoditi rebutan dua pihak.

Dalam hal Gary yang pernah bermain untuk akademi bolasepak Kedah, sudah tentu negeri itu sepatutnya diberi pampasan dalam memupuk bakat pemain itu.

Bagi pemain yang jahil dan kurang bijak sehingga terdorong menandatangani kontrak dengan dua pasukan, wajar jika Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengadakan kursus mendidik ahli mereka dan pemain cara menghormati undang-undang dan peraturan.

Alasan FAM yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Pahang juga sekadar menunjukkan jawatankuasa status di bawah teraju Naib Presiden FAM, Datuk Takiyuddin Hassan, tidak proaktif dan sekadar bergantung kepada laporan dikemukakan pengadu.

Bola sepak kita masih jauh perjalanannya.

Penulis adalah bekas wartawan sukan di media arus perdana yang kini meluahkan pandangan di laman social menerusi blognya “Malaysian Sports’ Loose Canon” dan satu-satunya wartawan Malaysia yang diberi penghormatan menjadi juri dalam pemilihan anugerah berprestij FIFA Ballon d’Or sejak 2010.