DALAM mana-mana anugerah, jarang semua pihak bersetuju dengan senang hati terhadap senarai pemenangnya.

FIFA Ballon d’Or – anugerah yang mengiktiraf seorang individu sebagai pemain bola sepak terhebat dunia – juga tidak terkecuali daripada menjadi pencetus debat dan kritikan, sama ada di kedai kopi atau di anjung-anjung kuasa besar.

Sebagai latar belakang ringkas, FIFA Ballon d’Or hanya wujud pada 2010.

Ia adalah gabungan dua anugerah – Pemain Terbaik Tahunan FIFA anjuran badan induk bolasepak dunia, Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Pemain Terbaik Eropah yang diwujudkan sejak 1956 hasil ilham pengarang majalah France Football, Gabriel Hanot.

Kedua-dua anugerah ini dibezakan mengikut format undian.

Pemain Terbaik FIFA diundi jurulatih dan kapten dari negara anggota FIFA disusuli majlis penyampaian anugerah secara gilang-gemilang.

Pemain Terbaik Eropah pula diundi oleh wartawan terpilih yang dilantik France Football.

Kelazimannya pemenang anugerah dibawa ke Paris untuk upacara penyampaian diikuti sesi penggambaran untuk menghias muka depan France Football.

Antara syarat awal ialah pemain itu berasal dari Eropah dan harus bermastautin dan mencari rezeki di benua itu.

Maka legenda seperti Diego Maradona yang beraksi untuk Barcelona dan Napoli tidak pernah merasa nikmat memegang Bola Emas, manakala Pele yang tidak pernah bermain untuk mana-mana kelab di Eropah, turut kempunan.

Hanya pada 1995 France Football meminda syarat dan membuka anugerah itu kepada pemain bukan Eropah.

Serentak dengan penggabungan dua anugerah itu, FIFA Ballon d’Or seolah-olah terjelma jadi satu peraduan siapa lebih hebat dan siapa lebih popular.

Anugerah ini tidak lagi meraikan pemain yang cemerlang untuk kelab dan pasukan negara dengan deretan kejayaan pada satu-satu musim.

Undian menentukan pemenang juga terbuka kepada jurulatih, kapten dan wakil media dari seluruh dunia.

Konflik timbul apabila wartawan meletakkan kriteria berbeza, manakala jurulatih dan kapten kadangkala berteraskan sentimen peribadi.

Dua contoh ketara ialah edisi 2010 dan 2013.

Sekalipun membantu Inter Milan menjulang Liga Juara-juara Eropah, kejuaraan Serie A dan Piala Itali serta Piala Kelab Dunia selain menjaringkan lima gol dalam laluan Belanda muncul naib juara Piala Dunia, Wesley Sneijder terkeluar daripada senarai tiga pemain teratas dalam undian keseluruhan edisi 2010.

Sebaliknya pemenangnya Lionel Messi, disusuli dua tonggak Sepanyol yang muncul juara Piala Dunia, Andres Iniesta dan Xavi.

Bersandarkan undian media saja, Sneijder adalah pemenangnya.

Jika format undian asal Ballon d’Or, bintang Belanda itu harus diangkat selaku pemenang.

Franck Ribery pula menanggung kekecewaan pada 2013.

Bintang Perancis itu pencetus inspirasi Bayern Munich dalam laluan mengangkat lima trofi – Liga Juara-Juara Eropah, Bundesliga, Piala Kelab Dunia, Piala Jerman dan Piala Super Eropah.

Namun Cristiano Ronaldo dari Real Madrid, tanpa sebarang kejuaraan, mendapat undian tertinggi diikuti Messi.

Ribery hanya menduduki tangga ketiga.

Diberi penghormatan mewakili Malaysia dalam kategori media sejak 2010, saya mengundi dengan mengambil kira prestasi individu untuk kelab dan negara.

Pada 2014, tahun Piala Dunia dianjurkan, tentunya ia serba sedikit menjadi kayu pengukur kejayaan seseorang pemain.

Sebagaimana kelaziman, Jawatankuasa Bola Sepak FIFA dan sidang pengarang France Football menyenarai pendekan 23 pemain dan juri dikehendaki memilih tiga pemain dengan pemain teratas menerima lima mata, pemain kedua tiga mata dan pemain ketiga satu mata.

Dalam kiriman emelnya, Timbalan Pengarah Editorial France Football, Gerard Ejnes, mengingatkan juri untuk memilih berasaskan prestasi untuk kelab dan/atau pasukan kebangsaan (khususnya dalam perlawanan penting), fair play dan prestasi semasa sejak 30 November, 2013.

Senarai tiga pemain teratas – Ronaldo, Messi dan Manuel Neuer – diumumkan pada 1 Disember.

Namun saya memilih kapten Jerman, Philip Lahm, di tempat teratas, disusuli Neuer dan Ronaldo.

Bagi saya, Lahm menepati ciri-ciri pemain bola sepak moden – tangkas, disiplin, bijak, mahir taktikal dan teknikal, pandai membentes, serba boleh dan atletik.

Ciri-ciri ini memudahkan Lahm beraksi sama ada sebagai bek kanan, bek kiri atau pemain tengah.

Tentu sekali nama Lahm dicatat paling awal menganggotai Bayern Munich, juara Bundesliga dan Pokal DFB musim 2013/14.

Kemuncaknya sudah tentu menjadi kapten Jerman keempat selepas Fritz Walter, Franz Beckenbauer dan Lothar Matthaeus untuk menjulang Piala Dunia sesudah anak didik Joachim Loew menumpaskan Argentina 1-0 di Brazil.

Tetapi dalam dunia hari ini, ia tidak mencukupi.

Rizal Hashim adalah bekas wartawan sukan di media arus perdana yang kini meluahkan pandangan di laman sosial menerusi blognya yang dinamakan “Malaysian Sports’ Loose Canon” dan satu-satunya wartawan Malaysia yang diberi penghormatan mengundi dalam pemilihan anugerah berprestij FIFA Ballon d’Or.