KUALA LUMPUR, 11 Oktober:

Pelaburan untuk mencungkil bakat muda di peringkat sekolah merupakan tindakan tepat kerajaan dalam menaikkan semula masa depan sukan negara.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengumuman peruntukan RM103 juta kepada pembangunan sukan dalam Bajet 2015 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merupakan satu penekanan berbeza daripada bajet sebelum ini.

Peruntukan RM103 juta itu akan disalurkan untuk pembangunan sukan melalui program ‘Malaysian Talent Identification’ serta meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi untuk enam bidang sukan terpilih dalam fasa pertama melibatkan bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga.

“Kali ini kita lihat kerajaan lebih serius dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi dalam mentransformasi sukan negara. Sebelum ini peruntukan lebih kepada persediaan menghadapi sukan besar, tetapi kali ini berbeza.

“Pengenalpastian bakat baru bermula di sekolah-sekolah rendah. Usaha ini mampu menyuntik semangat pelajar untuk cemerlang dalam akademik dan juga sukan. Kita tidak mahu bakat yang ada hanya cemerlang di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) sahaja, selepas itu hilang.”

Zainal berkata selain tumpuan kepada peringkat akar umbi, kerajaan juga perlu melihat kepada kekurangan infrastruktur sukan di setiap negeri yang perlu dinaik taraf.

Katanya untuk mempercepatkan lagi usaha kerajaan ini, sektor korporat perlu juga perlu membantu sekiranya tidak mahu melihat Malaysia terbelakang dalam arus sukan di peringkat dunia.