KUALA LUMPUR, 22 Februari:

“Saya rindu untuk ke sekolah, belajar dengan kawan-kawan, jumpa cikgu,” luah Puteri Jeslina Natasha Meor Azlan Shah, yang mengidap kanser saraf otak sejak tahun lalu.

Dia yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Forest Height, Seremban kini tidak lagi bermaya untuk berjalan sehingga terpaksa melupakan alam persekolahannya buat seketika.

“Sebelum ini, di sekolah, saya memang aktif bersukan, pernah mewakili sekolah, larian, lompat jauh, boling, badminton.

“Sekarang, saya nak bangun berjalan pun susah, semua kena minta bantuan dari orang lain, tangan pun tak boleh genggam sampaikan tidak mampu menulis,” katanya kepada Bernama.

Puteri Jeslina, 16, ditemui pada sambutan Hari Kesedaran Kanser Kanak-Kanak Sedunia yang dihadiri kira-kira 25 kanak-kanak pengidap kanser bersama ibu bapa mereka di sini, semalam.

Puteri Jeslina yang bercita-cita menjadi doktor veterinar itu berkata dia dikesan mengidap kanser pada Ogos tahun lalu selepas kaki dan tangannya kebas sehingga tidak mampu menggenggam tangan.

“Pada awalnya, doktor cakap ada ketumbuhan dalam saraf tunjang. Selepas lakukan pembedahan barulah kanser itu dikesan,” katanya yang kini sedang menjalani rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ibunya Noor Aini Md Nasir, 53, yang bekerja mengambil upah sebagai pengasuh kanak-kanak berkata dia berharap anak bongsu daripada empat beradik itu segera sembuh dan kembali menyambung persekolahannya.

Sementara itu, Mawar Jelita Husin, 45, berkongsi kesedihan kerana cucunya, Isabella Natasya yang baru berumur 17 bulan mengidap kanser neuroblastoma.

Kanser itu dikesan ketika bayi itu berusia lapan bulan.

“Perutnya makin membesar dan selepas membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Melaka, Natasya disahkan menghidap kanser tahap empat sebelum dirujuk ke HKL untuk rawatan susulan.

“Dia terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada bahagian perutnya sebelum meneruskan dengan rawatan kimoterapi,” katanya.

Mawar berkata keadaan cucunya pada ketika itu amat menyedihkan.

Kesan daripada rawatan itu, Natasya mengalami keguguran rambut, susut berat badan dan hilang selera makan serta pembesarannya terjejas.

Naib Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Clare Ratnasingam yang ditemui pada majlis itu berkata pihaknya akan terus mengadakan program kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser.

Katanya bagi membantu meringankan beban keluarga pesakit, persatuan itu menyediakan kemudahan penginapan dengan bayaran RM10 sehari kepada ibu bapa yang membawa anak mereka mendapatkan rawatan di HKL.